PELAKON veteran, Charlie Nu’man Salleh dilaporkan berada dalam keadaan tenat selepas disahkan menghidap penyakit kanser usus tahap empat.
Menurut adiknya, Yusri Salleh, keadaan kesihatan Charlie semakin merosot dan pihak hospital telah memaklumkan agar keluarga bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.
“Doktor kata keadaan abang saya (Charlie) dah tenat, dan memberitahu kami untuk bersedia bagi sebarang kemungkinan.

Keadaan Charlie ketika berada di hospital.
“Pihak hospital beri pilihan untuk tinggal di wad atau mahu balik.
“Jadi kami pilih untuk bawa balik dan sewa oksigen namun ia dah habis,” katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.
Berkongsi lanjut, Yusri memaklumkan Charlie dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Khamis dan hanya dimaklumkan mengenai penyakit kanser usus pada keesokan harinya, iaitu Jumaat.
Jelasnya, faktor usia Charlie turut menyebabkan risiko untuk menjalani pembedahan menjadi terlalu tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN: Rumah terbakar pada hari raya kedua, pelakon Charlie Nu'man dan 6 orang anak terpaksa berteduh di penempatan sementara
ARTIKEL BERKAITAN: Finas salur bantuan wang tunai, cari rumah baharu buat Charlie Nu'man dan 6 orang anak
“Sebenarnya kami baru tahu dia ada kanser usus tahap empat semalam.
“Jika nak buat pembedahan pun, risikonya sangat tinggi memandangkan abang saya pun dah berusia,” ujarnya.
Difahamkan, Charlie, 71, kini berada dalam pemantauan keluarga dan memerlukan bantuan oksigen sepanjang masa.
Sebelum ini, Charlie diuji apabila rumah sewanya di Gombak Setia, Selangor musnah dalam kebakaran pada hari raya kedua, April lalu.

Charlie tinggal bersama enam orang anaknya yang masih bersekolah.
Ekoran insiden itu, mereka sekeluarga kini menetap sementara di Wangsa Maju, Seksyen 2.
Untuk rekod, Charlie pernah mendirikan rumah tangga ketika berusia 40 tahun namun bercerai selepas beberapa tahun.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Charlie kemudian berkahwin buat kali kedua pada tahun 2011 namun perkahwinan itu juga berakhir dengan penceraian pada tahun 2020.
Daripada perkahwinan keduanya, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Nu’man Muda, 13, Num’man Rayyan, 12, Nur Raudhah, 11, Nu’man Muaz, 10, Nur Rania Affiya, tujuh, dan Nur Reesya Affiya, lima tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


