suria

[V] Fattah Amin lamar Amira Othman, bakal nikah Ahad ini - "Daripada rakan sekerja ke rakan serumah”

PELAKON Fattah Amin membuat kejutan apabila hadir  melamar penyanyi Amira Othman pada Isnin.

Pasangan itu turut mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga pada 14 September nanti bersempena ulang tahun kelahiran Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35.

Ketika acara, Fattah muncul dari belakang pentas semasa Amira dan adiknya Irfan Haris sedang menyanyikan lagu duet terbaharu mereka berjudul Rasa & Takdir.

Amira dan Fattah bakal disatukan minggu ini. 

Pada akhir persembahan Irfan menyerahkan kunci kepada Fattah sebagai simbolik kepada penyerahan tanggungjawab kepada aktor berkenaan menjaga kakaknya sekali gus memberi tanda mereka bakal memulakan hidup bersama. 

Tenang berada di atas di atas pentas, Fattah kemudian membuat satu pengumuman yang mengejutkan buat semua tetamu. 

“Mesti ramai yang pelik saya ada di majlis pelancaran Rasa & Takdir. Sebenarnya hari ini saya dan Amira, ada berita baik untuk diumumkan yang nak kongsi dengan semua.

“Seperti semua orang tahu kami adalah rakan sekerja dan selepas beberapa lama berkenalan, kami insyaAllah ingin bertukar status dari rakan sekerja kepada rakan serumah,”  katanya yang turut memberikan kunci kepada Amira sebagai simbolik.

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak huruf ‘A & F’, netizen buat spekulasi Amira Othman dan Fattah Amin bakal berkahwin

ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin hadiahkan sejambak bunga, netizen kuatkan spekulasi hubungan dengan Amira Othman

Acara tersebut turut disaksikan oleh ibu bapa Amira iaitu Othman Abdul Kadir, 62 dan Nora Haji Arshad, 58 di tempat duduk penonton.

Pasangan berkenaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai acara tersebut dan meninggalkan acara yang berlangsung.

Sebelum ini, kecoh di media sosial mendakwa pelakon Fattah Amin bakal menamatkan zaman duda dalam waktu terdekat. 

Fattah dan Amira bakal menjadi suami isteri.

Khabar tersebut didedahkan oleh seorang pengguna Threads iaitu Kimchikims_ yang mendakwa dia mendapat maklumat itu daripada sumber boleh dipercayai. 

Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres Fazura pada 27 November 2017 dan disahkan bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia 5 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain