SELEPAS empat tahun meninggalkan kerjaya sebagai penghibur kelab malam, penyanyi Tom mengakui kini lebih selesa menjalani kehidupan sebagai seorang suri rumah tangga.
Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 38, berkata pada awalnya, keputusan untuk berhenti menyanyi bukan sesuatu yang mudah untuk diterima memandangkan nyanyian merupakan sebahagian daripada jiwanya.
Bagaimanapun, keinginan untuk kembali membuat persembahan di kelab malam kini semakin hilang apabila dia lebih seronok memberi tumpuan menguruskan suami dan anak-anak.

Luahan hati Tom jadi perhatian.
"Sebenarnya saya rindu nak buat persembahan malam macam dulu tapi suami tak izinkan. Dia cakap biar dia seorang saja kerja sediakan semua benda untuk saya dan anak-anak.
"Sedih juga mula-mula tak dapat terima nak kena berhenti menyanyi malam. Sebab saya memang suka buat persembahan tapi dah empat tahun tak buat persembahan malam duduk rumah saja ambil persembahan untuk acara
"Lama-lama keinginan nak menyanyi malam itu sudah tiada, rasa sedap dan seronok duduk rumah jaga anak-anak dan boleh keluar bawa mereka pergi sana sini , suami tak marah asalkan pandai jaga diri," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tom tak izin anak masuk asrama, biar ikut langkah jadi pemuzik
ARTIKEL BERKAITAN: Tom hilang sabar baca komen ‘makcik’ TikTok, bagi masa 24 jam sebelum buat laporan polis
Tom berkongsi perkara itu menerusi Instastory miliknya pada Sabtu.
Menurut Tom, dia kini mengisi masa terluang dengan menjalankan kerja sambilan termasuk mempelajari teknik pemasangan veneer gigi dan mempromosikan perkhidmatan spa kenalannya.
Biarpun suaminya, penyanyi Fuad Rahman tidak pernah meminta bekerja, namun dia tetap mahu berusaha mencari pendapatan sendiri.
"Sebenarnya kerja sambilan ini pun suami cakap tak payah buat sangat. Dia tak pernah suruh saya kerja cari duit bantu dia, kalau boleh fokus jaga anak-anak dan rumah.

Tom bahagia di sisi suami.
"Tapi saya nak buat sebab saya memang jenis suka berkerja ada duit sendiri, asyik minta suami kesian dia. Saya pula suka beli belah.
"Rasanya saya punya masa menyanyi malam sudah habis, 18 tahun berusaha cari duit untuk anak-anak sekarang dah sampai masa untuk bertenang dan buat kerja luar bidang selain muzik," luahnya.
Dalam pada itu, Tom turut meluahkan hasrat untuk mengubah penampilannya ke arah yang lebih sopan selepas tidak lagi aktif dalam persembahan malam.
"Saya nak pakai baju kurung lepas ini, malas dah nak pakai baju terjojol sana sini, cantiklah tengok orang pakai baju kurung jadi saya nak beli banyak-banyak buat pakaian harian memandangkan dah tak menyanyi malam kan," tambahnya.

Tom fokus membesarkan tiga anaknya.
Untuk rekod, Tom mendirikan rumah tangga bersama Fuad pada Februari 2025 dan memiliki sorang cahaya mata perempuan.
Sebelum itu, Tom pernah berkahwin sebanyak dua kali dan berakhir penceraian.
Hasil perkahwinan tersebut dia memiliki tiga orang anak lelaki iaitu Megat Ariel Shakur, Putera Adler Iesta, Putera Evans Ezra.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


