suria

Aiman Hakim Ridza bosan kerap dapat watak klise

Aiman tak mahu watak komedi romantik lagi.

SEMAKIN jarang muncul di televisyen, pelakon Aiman Hakim Ridza memaklumkan dirinya lebih berhati-hati dalam memilih naskhah lakonan.

Aiman, 36, berkata dia enggan menerima tawaran watak berulang kali kerana sudah muak dengan karya serupa.

“Sekarang ini saya tidak akan terima kalau karya itu tidak mencabar. Saya sudah bosan dengan drama romantik komedi kerana jiwa saya sudah tiada di situ,” katanya kepada mStar.

Aiman dahagakan cabaran dalam lakonan.

Menurut Aiman, dia mahukan karya yang benar-benar mencabar dirinya kerana ingin melihat peningkatan dalam kerjaya lakonan.

Katanya, dia juga terbuka untuk menerima watak pembantu sekiranya mampu memberi ruang untuknya berkembang sebagai pelakon.

Meskipun jarang dilihat di televisyen, Aiman memberitahu dia tetap menerima tawaran lakonan malah bergiat aktif dalam produksi luar negara termasuk di Indonesia dan Singapura.

ARTIKEL BERKAITAN: Aiman Hakim Ridza terlalu dalami watak sampai susah tidur, ada ketika bercakap sendiri... Isteri beri sokongan moral waktu ‘breakdown’

ARTIKEL BERKAITAN: Fokus ‘renovation’ rumah, Aiman Hakim tolak tawaran lakonan enam bulan

“Sebenarnya saya mencari watak kecil yang boleh mencabar diri, tapi tawaran sebegitu jarang dapat kerana kebanyakannya adalah watak utama. Jadi saya perlu lebih berhati-hati memilih skrip.

“Tawaran itu sentiasa ada, Alhamdulillah. Saya juga sudah berlakon dalam beberapa karya produksi di Singapura,” ujarnya.

Anak-anak dan isteri jadi keutamaan Aiman.

Dalam pada itu, Aiman mendedahkan dia sebelum ini memperlahankan karier seni kerana mahu memberi tumpuan kepada tumbesaran anak-anaknya.

“Sebelum ini saya lebih suka luangkan masa dengan anak-anak kerana mereka masih kecil. Saya rasa itu lebih penting berbanding karier.

“Sekarang bila anak sudah besar sikit, saya nak kembali aktif,” kongsinya.

 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain