TANGGAL 30 Ogos menjadi tarikh istimewa buat pelakon Sharnaaz Ahmad dan bekas isterinya Noor Nabila kerana merupakan ulang tahun kelahiran anak tunggal mereka.
Biarpun tidak lagi bergelar suami isteri, kasih sayang terhadap anak tersayang tetap Jebat Jayden utuh dan jelas terbukti menerusi ucapan hari lahir yang penuh emosi dan menyentuh jiwa.
Berkongsi tarikh lahir yang sama dengan anaknya, Sharnaaz Ahmad atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 40, membuka luahan hatinya dengan menyentuh mengenai kehilangan ayah tercinta tahun lalu.

Sharnaaz dan Jebat berkongsi tarikh lahir sama.
Namun, di sebalik kesedihan itu, Sharnaaz menegaskan dirinya akan sentiasa menjadi figura bapa yang hadir untuk anak tersayang.
“Saya semakin tua hari ini. Saya kehilangan ayah tahun lalu... Tapi awak (Jebat) masih ada baba.
"Baba mungkin tidak sempurna dalam semua segi, tapi sepanjang tujuh tahun ini, baba tak pernah hilang. Baba sentiasa ada," katanya.
Sharnaaz juga menitip nasihat buat anak lelakinya itu supaya sentiasa menjadi diri sendiri meskipun dunia tidak selalu adil.
ARTIKEL BERKAITAN: Hubungan sebenar dengan Sharnaaz Ahmad terjawab, Noor Nabila sedang kenali seseorang
ARTIKEL BERKAITAN: Sharnaaz dan Nabila sepakat bab anak, bawa Jebat bercuti 5 hari ke Pulau Pinang
“Orang tak selamanya suka kita, tapi awak jadi diri sendiri. Jadi yang terbaik awak boleh lakukan.
"Bila orang cakap buruk tentang awak, kemudian awak akan tahu kehidupan awak lebih baik daripada mereka. Jadi senyum dan 'chin up'.
“Selamat hari lahir anak lelaki baba, saya akan sentiasa sayang awak tanpa syarat, titik!," ujarnya.
Sementara itu, ucapan panjang dan menyentuh hati daripada Nabila, 41, pula memperlihatkan sisi keibuan yang penuh kelembutan dan keikhlasan.

Sharnaaz dan Nabila sangat menyayangi Jebat.
Biarpun menganggap Jebat tidak membesar dalam keluarga sempurna, namun dia akan sentiasa memastikan anaknya itu mendapat kasih sayang yang terbaik.
“Kamu hadir dalam pelukan Mommy (panggilan Nabila) dengan tenang, tapi kehadiranmu menggegarkan seluruh hidup Mommy dengan cinta.
“Kamu tak pernah lihat Mommy dan Baba hidup bersama... Kamu tak pilih semua ini. Tapi kamu berdamai dengannya dengan cara kamu yang bijak, tenang dan matang, walaupun masih kecil,” katanya.
Nabila turut menggambarkan anaknya itu sebagai ‘penyelamat’ yang banyak mengajarnya tentang kekuatan, kesabaran dan makna sebenar kasih sayang.

Nabila bersyukur kehadiran Jebat ,emjadi sumber kekuatan buat dirinya.
“Kamu sendiri pun tak tahu apa yang telah kamu ajarkan kepada Mommy. Bagaimana kamu menyatukan semula hati Mommy. Bagaimana kamu menyelamatkan Mommy, berulang kali.
“Kamu akan sentiasa menjadi cinta terbesar dalam hidup Mommy,” jelasnya.
Walaupun tidak lagi hidup sebumbung, Sharnaaz dan Nabila membuktikan kasih sayang mereka terhadap Jebat tidak pernah berkurang.
Untuk rekod, Sharnaaz dan Nabila pernah mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017, namun ikatan perkahwinan tersebut terlerai pada 9 Julai 2020.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


