LEBIH dua dekad membina nama dalam industri muzik, penyanyi Dayang Nurfaizah masih belum bersedia untuk menganjurkan konsert mega solonya.
Penyanyi berusia 44 tahun itu menegaskan, keyakinan diri dan kepercayaan peminat adalah faktor utama yang membuatkan dia lebih berhati-hati sebelum merealisasikan impian tersebut.
Dayang atau nama penuhnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, menjelaskan sekiranya peluang menganjurkan konsert berskala besar menjadi kenyataan, dia tidak mahu melakukannya sambil lewa hanya sekadar untuk membuktikan kemampuan.

Dayang masih belum bersedia untuk menganjurkan konsert mega solo.
“Saya tak nak buat sekadar ala kadar demi nak tunjuk boleh buat konsert, tidak.
“Saya sendiri meyakinkan, memujuk diri sendiri sebab konsert ini bagi saya, kalau nak buat, memang kena betul-betul.
“Dalam kepala, ada imaginasi nak macam mana dari segi pentas, visual dan susunan muzik dan sebagainya. Semuanya dah ada dalam gambaran imaginasi saya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tetap simpan rahsia identiti jejaka pilihan, Dayang Nurfaizah fokus dua tarikh penting
ARTIKEL BERKAITAN: Patutlah makin berseri-seri, Dayang Nurfaizah rupanya sedang bahagia
“Bukan nak cakap terlalu lain daripada lain tapi rujukan saya semestinya artis luar negara. Tapi itulah, susah nak cari orang yang betul-betul faham sebab benda ini melibatkan kos, produksi, bunyi dan sebagainya,” katanya usai showcase Janji With Dayang (Pulau Pinang).
Penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Hakikat Cinta 26 tahun lalu itu turut menegaskan, sekiranya konsert solo mega itu direalisasikan, dia mahu memastikan para peminat tidak terbeban untuk hadir.
“Saya nak semua peminat dapat datang dan berseronok. Itu yang utama, saya tak mahu mereka rasa terbeban dengan harga tiket.
Saya tak nak buat sekadar ala kadar demi nak tunjuk boleh buat konsert, tidak.
DAYANG NURFAIZAH
PENYANYI
“Banyak perkara perlu dipertimbangkan. Sukar nak cari pihak yang benar-benar sehaluan dan sanggup melabur. Kalau ada bajet, saya mahu tumpuan diberikan kepada kualiti muzik,” jelasnya.
Dayang turut melahirkan rasa puas hati dengan kejayaan showcase Janji With Dayang (Pulau Ponang) yang berlangsung di Top View @ The Top, Komtar.
“Ini kali pertama saya menyanyi di rooftop paling tinggi Komtar, tanpa berbumbung. Alhamdulillah cuaca baik, penonton pun seronok dan muzik sedap didengar. Showcase ini walaupun kecil, tetapi tercapai seperti apa yang saya bayangkan.

Dayang menjayakan showcase Janji With Dayang di Pulau Pinang.
“Mula-mula memang risau kalau hujan, tapi kami dah rancang, kalau hujan ringan saya teruskan, kalau lebat sangat berhenti seketika sampai reda,” katanya.
Dalam persembahan itu, Dayang membawakan semua lagu daripada album terbaharunya Janji seperti Lemah, Mungkin Ke? dan Esok Lusa Selamanya selain mengimbau kenangan dengan lagu lama seperti Dayang Sayang Kamu dan Mana Mungkin.
Showcase yang dianjurkan bersama Usanita Entertainment dan Mask Team itu akan diteruskan di Kuala Lumpur pada 27 September 2025 di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


