ISTERI pelawak dan pelakon Shuk Sahar iaitu Fara Salleh berkongsi pengalaman cemas apabila merasai gegaran gempa bumi yang berlaku kawasan perumahannya di Jalan Muar, Segamat pada awal pagi Ahad.
Menurut Fara, 33, kejadian yang berlaku sekitar pukul 6 pagi itu pada mulanya disangka sebagai mimpi kerana baharu terjaga daripada tidur.
"Ingat mimpi sebab mamai baru bangun tidur. Gegaran yang berlaku dalam pukul 6 pagi itu ingatkan bunyi guruh, tapi guruh takkanlah macam itu," katanya kepada mStar.

Fara turut merasai gegaran yang berlaku di Segamat.
Menceritakan detik cemas itu, Fara berkata, tiada kerosakan berlaku namun mengakui berasa takut dan panik apabila merasai gegaran tersebut.
"Setakat ini keadaan rumah pun baik-baik saja, tak ada barang rumah yang terjatuh akibat gegaran itu. Cuma lampu semua bergoyang.
"Tapi serius rasa takut jugalah sebab rasa gegaran macam itu," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Gempa bumi 4.1 magnitud di Segamat... Gegaran turut dirasai di Negeri Sembilan, Pahang
ARTIKEL BERKAITAN: Fara Salleh bengang netizen cakap konflik rumah tangga sebagai kifarah, dakwa bekas isteri Shuk Sahar berkahwin dengan suami rakan sendiri
Fara bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana dia dan keluarga berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang arahan pemindahan diterima setakat ini.
"Alhamdulillah saya dan keluarga berada dalam keadaan selamat. Gegaran kuat itu memang terasa.
"Buat masa ini kami belum dapat apa-apa amaran untuk berpindah. Cuaca sekarang pun masih baik cuma redup saja pagi ini," katanya.
Pada awal pagi Ahad, gegaran gempa bumi lemah dilaporkan berlaku di beberapa lokasi sekitar daerah Segamat, Johor.

Fara memaklumkan keluarganya berada dalam keadaan selamat.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gegaran bermagnitud 4.1 itu berlaku kira-kira pukul 6.13 pagi.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa terletak lima kilometer barat Segamat pada kedalaman 10 kilometer.
Gegaran turut dirasai di kebanyakan kawasan di Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


