suria

Bukan tunggang isu, Issey angkat tema buli dalam teater… Bakal dipentaskan dalam penjara berusia 147 tahun

Issey tidak berniat untuk menunggang isu yang sedang hangat diperkatakan. 

TAMPIL dengan sebuah teater yang mengangkat tema buli, pelawak dan penyampai radio Issey Fazlisham menegaskan dia tidak berniat untuk menunggang isu yang sedang hangat diperkatakan. 

Kata Issey atau Fazlisham Mat Husin, 35, dia sekadar mengambil kesempatan dan ruang yang ada agar kesedaran tentang masalah tersebut terus menjadi perhatian ramai. 

Malah pementasan karya berjudul Teater Dalam Penjara sempena penganjuran Makar Fest adalah salah satu inisiatif bagi memberi kesedaran kepada orang ramai. 

Issey bakal muncul dengan Teater Dalam Penjara.

“Bukan nak tunggang  tapi isu ini sedang hangat diperkatakan. Kalau tidak ke depan untuk bercerita, kita akan ketinggalan. Kenapa tidak saya kongsi sedangkan ada ruang yang bagus?

“Jika tidak dapat ruang, kita cari peluang,” katanya kepada mStar. 

Issey berkata demikian ditemui ketika pada sidang media Makar Fest 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu. 

ARTIKEL BERKAITAN: Impian mengarah ‘sifu’ terlaksana, Issey kagum magis Sabri Yunus

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah Allahyarham ibu hangus dijilat api, Issey sebak kenang tempat membesar sudah tiada

Sempena penganjuran festival berkenaan, sebuah teater arahan Sabri Yunus akan dipentaskan dengan mengetengahkan isu kebebasan serta buli. 

Lebih istimewa, teater yang bakal dipentaskan Red Bean Productions itu akan diadakan di KotaJail, Johor Bahru, Johor yang merupakan bekas tapak penjara ketiga tertua di Malaysia.

“Apa yang menarik, teater ini dipentaskan betul-betul dalam penjara, iaitu di KotaJail. Mungkin ada yang belum tahu, KotaJail merupakan penjara ketiga tertua di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun dan dahulunya menempatkan ramai banduan. 

Teater ini dipentaskan betul-betul dalam penjara, iaitu di KotaJail. 

ISSEY

PELAKON

“Bayangkan, kami pentaskan teater tersebut dalam penjara yang kini dinaiktaraf sebagai tempat pelancongan yang baru di Johor Bahru. 

“Jadi, orang ramai yang datang ke Makar Fest 2025 dan menonton teater ini boleh merasai sendiri perasaan dan pengalaman bagaimana banduan duduk dalam penjara,” katanya. 

Dalam pada itu, Issey berkata, usaha berkenaan secara tidak langsung juga sebagai satu bentuk solidariti terhadap gejala buli yang kini hangat diperkatakan.

Dari kiri: Ammar, Angeline, Sabri, Issey dan Ain.

“Dengan pementasan ini kami nak tarik lebih ramai orang agar benci buli. Pada saya, ini adalah gerakan untuk bersama-sama memberi kesedaran kepada orang ramai,” katanya.

Selain Issey, teater itu juga menampilkan pelakon lain seperti Ain Sufia, Ammar Titan, Angeline Tan termasuk Sabri serta Issey sendiri.

Maklumat penjualan tiket Teater Dalam Penjara akan dimaklumkan menerusi media sosial rasmi Makar Fest 2025 bermula Isnin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain