PENYANYI alt-pop antarabangsa, Sombr baharu sahaja melancarkan album debut berjudul I Barely Know Her pada Jumaat.
Diterbitkan oleh Warner Records, kesemua lagu dalam album itu ditulis oleh Sombr dan diterbitkan bersama penerbit Tony Berg yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Phoebe Bridgers, Boy Genius dan The Replacements.
Sombr atau Shane, 20, berkata dia teruja melihat pencapaiannya dalam bidang muzik dan mahu terus memberi inspirasi buat pendengar seluruh dunia.

Konsert jelajah Sombr tahun lalu mendapat sambutan hangat peminat.
"Rasa seronok bila dengar suara sendiri semakin berkembang. Belajar nyanyian klasik mengajar saya mendapatkan apa juga bunyi yang saya mahukan.
"Saya menghasilkan karya yang magis dan benar-benar mencintai seni. Selagi saya dapat menggunakan kreativiti untuk mencipta inspirasi kepada orang ramai, saya sudah gembira," katanya.
Penyanyi berkenaan mula dikenali selepas lagu debutnya berjudul Caroline meraih lebih 1 juta strim dalam minggu pertama dan kini mencatat lebih 38 juta strim di Spotify.
ARTIKEL BERKAITAN: Ella kongsi pengalaman bikin album di Amerika Syarikat, sedia rakam semula lagu lama
ARTIKEL BERKAITAN: Album solo Rosé cipta rekod, cecah 2 bilion strim dalam tempoh kurang 100 hari
Beberapa lagu lain yang turut mendapat tempat di hati pendengar termasuk Willow, Would’ve Been You (45 juta strim) dan Do I Ever Cross Your Mind (13 juta strim).
Tidak terhenti di situ, kejayaan penyanyi itu terus diangkat ke titik tertinggi selepas dipilih dalam senarai berprestij Billboard 21 Under 21, yang mengiktiraf artis muda paling berpengaruh dalam membentuk masa depan industri muzik.
Mengukuhkan lagi momentum tersebut, Sombr turut menerima pencalonan di MTV Video Music Awards 2025 menerusi pencalonan Artis Baharu Terbaik dan Video Alternatif Terbaik.
Istimewanya lagi, Sombr baru sahaja menamatkan Jelajah Amerika Utara 2024 yang menyaksikan persembahan di bandar-bandar utama termasuk New York, Los Angeles, Atlanta, dan Toronto.
Konsert penutup yang berlangsung di lokasi ikonik The Troubadour, Los Angeles turut mendapat pujian meluas daripada pengkritik muzik yang menyifatkan persembahan Sombr sangat memukau dan penuh bertenaga.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


