DEMI menampung kos perubatan bapanya yang menghidap kanser usus, pelawak Amir Raja Lawak sekali lagi mengingatkan sebuah stesen televisyen untuk menjelaskan bayaran tertunggak berjumlah RM18,000.
Kata Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 35, bapanya kini berada dalam keadaan uzur dan memerlukan penjagaan rapi kerana tidak lagi mampu berjalan sendiri.
“Awal tahun ini ayah dah tak boleh keluar berjalan, kerap sangat nak buang air besar. Bila hantar ke hospital, mula-mula doktor kata gastrik, tapi kemudian sahkan kanser usus.

Amir memaklumkan perkara itu ketika ditemui media pada Jumaat.
“Sekarang ini sudah uzur, jadi ayah duduk di rumah saja. Nak bangun pun jatuh, pernah terhantuk dinding dan kerusi. Jadi memang kena ada orang sentiasa jaga,” katanya kepada mStar.
Amir memaklumkan perkara itu ketika ditemui pada Majlis Pelancaraan Penjenamaan Lindung anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada Jumaat.
Dakwa Amir, wang hasil kerjanya bersama stesen televisyen itu mahu dijadikan sebagai persediaan untuk menampung kos rawatan dan ubat-ubatan bapanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Amir Raja Lawak perlu jalani pembedahan kedua, sempat kongsi nasihat sebelum jumpa Perdana Menteri
ARTIKEL BERKAITAN: Awesome TV ambil tindakan undang-undang terhadap Amir Raja Lawak, Mamak Puteh dan Abu Mamu
“Saya nak duit saya saja, jumlah sekarang RM18,000. Duit itu memang untuk ‘standby’ rawatan ayah, takut ada kecemasan,” jelasnya.
Ditanya mengenai notis tuntutan (LOD) yang didakwa telah dihantar oleh stesen televisyen tersebut, Amir memberitahu belum menerimanya dan enggan memperbesarkan perkara itu.
“Saya tak nak besarkan lagi, biar saja dulu. Sekarang belum terima LOD tu. Akan ada perbincangan dengan mereka dalam masa terdekat. Saya memang nak selesaikan dengan baik,” ujarnya.

Amir berharap supaya wangnya sebanyak RM18,000 dapat diselesaikan segera.
Mengulas mengenai sokongan yang diterima daripada rakan artis, Amir meluahkan rasa syukur kerana ramai yang prihatin terhadap kesusahannya.
“Alhamdulillah, ramai artis yang hulurkan sumbangan tapi mereka tak nak nama didedahkan. Nombor akaun pun guna akaun ayah saya. Jumlah pun saya tak tahu berapa,” katanya.
Sebelum ini Amir bersuara untuk menuntut bayaran tunggakan berbaki RM18,000 untuk penglibatannya dalam program di stesen televisyen berkenaan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


