PENYANYI Elliza Razak tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan daripada individu dipercayai peminjam wang (ah long).
Kata Elliza, 41, laporan berkenaan dibuat bagi kerana bimbang keselamatan dirinya diganggu oleh pihak terbabit.
Dakwanya ugutan ah long di akaun media sosial miliknya dipercayai berpunca daripada hutang bekas suaminya iaitu Khairul Adzwan Nasir.

Komen yang diterima Elliza di Facebook.
"Ah long kejar lagi. Kali ini komen di Facebook pula. Sebab itu saya buat cover report bagi melindungi diri.
"Dalam komen yang diberikan itu, siap ada gambar bekas suami pegang kad pengenalan. Dia gagal bayar hutang dan sebab itu ah long cari saya.
"Saya tak tahu hutang itu berkaitan apa," katanya ketika dihubungi mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Elliza Razak rayu bekas suami ‘stop’ beri masalah, sampai menangis kerana terlalu tertekan
ARTIKEL BERKAITAN: Hutang lama belum selesai, datang pula masalah baharu... Elliza Razak perlu cari RM3,300
Elliza sebelum itu memuat naik gambar dia bersama dua anaknya hadir ke balai polis bagi tujuan berkenaan pada pagi Khamis.
Dia bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi balai berkenaan kerana tidak mahu orang ramai mengetahui tempat kawasan kediamannya.
Tambah penyanyi itu, dia juga ada menghubungi Khairul Adzwan untuk bertanya perkara berkenaan namun sebaliknya yang berlaku.

Elliza bimbang keselamatan diri terancam.
"Apabila hubungi dia, saya pula yang kena maki.
"Saya yakin hutang itu dibuat selepas kami cerai, gaya rambut yang dikongsi tidak sama seperti ketika kami bersama," ujarnya.
Menerusi komen yang ditinggal di Facebook itu, individu berkenaan memberitahu nama Elliza diletakkan sebagai wakil untuk dihubungi.
Malah komen tersebut juga memberi amaran serta ancaman terhadap Elliza jika Khairul Adzwan dilaporkan gagal melunaskan hutang.
mStar cuba mendapatkan Khairul Adzwan untuk memberi peluang mengulas isu ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


