suria

Nabila Razali akui ChatGPT mudahkan pelajar, tapi tak boleh ganti peranan guru

Nabila tidak menafikan kemudahan penggunaan teknologi AI.

PENYANYI Nabila Razali berpendapat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT tidak boleh menggantikan peranan guru bertauliah dalam proses pembelajaran. 

Bagaimanapun Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 33, tidak menafikan penggunaan ChatGPT dapat membantu dalam proses pembelajaran namun menasihatkan pelajar agar tidak terlalu bergantung kepada teknologi itu.

“ChatGPT memang memudahkan, tetapi ia tidak akan mampu menggantikan pembelajaran di dalam kelas bersama guru yang bertauliah.

“Adik-adik di luar sana juga berdepan waktu sukar untuk fokus belajar. ChatGPT memang boleh membantu, tetapi saya tak mahu mereka hanya bergantung semata-mata tanpa memahami apa yang dipelajari.

Nabila mahu beri kesedaran bahawa pendidikan satu perkara menyeronokkan.

“Macam mana pun, akhirnya kena kembali kepada guru yang mempunyai kelayakan dan pengalaman,” katanya kepada mStar. 

Nabila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media majlis pembukaan cawangan PTTI Shah Alam, yang diadakan di Seksyen 13 Shah Alam pada Sabtu. 

Sebagai duta rasmi pusat tuisyen PTTI, Nabila memberitahu dia berperanan memberi kesedaran kepada pelajar bahawa pendidikan juga boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan. 

“Pendidikan boleh jadi menyeronokkan, bukan membosankan. Itu yang cuba ditonjolkan PTTI melalui pelbagai acara dan anugerah kepada pelajar.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali kongsi wajah Baby M, teruja sambut Aidiladha di Kelantan

ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali mudah menangis sejak bergelar ibu, tak boleh tengok video sedih

“Sebagai contoh, bila pelajar mendapat keputusan baik, mereka diraikan. Itu jadi motivasi untuk mereka berusaha lebih gigih,” ujarnya. 

Tambah penyanyi lagu Peluang Kedua ini, ramai peminat berkongsi impian mereka untuk menjadi seorang selebriti. 

Namun Nabila menasihati masyarakat untuk mempunyai pendidikan yang baik kerana ia merupakan asas penting dalam mengejar impian. 

“Saya pernah berjumpa peminat yang masih di bangku sekolah, umur 13 atau 14 tahun tetapi sudah ada cita-cita mahu jadi artis. 

Nabila merupakan duta pusat tusiyen PTTI.

"Memiliki impian itu bagus, tetapi untuk merealisasikannya bukan semudah disangka, sebab itulah saya gunakan media sosial untuk mendidik mereka mengenai betapa pentingnya ilmu dan cara menambah ilmu dengan jalan yang betul,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pusat tuisyen PTTI terus mengorak langkah dengan melancarkan cawangan ketiganya di Shah Alam. 

Langkah ini menjadi sebahagian daripada strategi memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada lebih ramai pelajar di Malaysia.

Bersempena dengan pembukaan cawangan baharu ini, PTTI menyasarkan seramai 500 calon SPM 2025 dari kawasan Shah Alam untuk menyertai program pembelajaran yang ditawarkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain