LEBIH sepuluh tahun bergelar anak seni, pelakon Amir Nafis akur jika kehadirannya dalam industri seni masih belum dikenali ramai.
Bagi Amir atau Amir Nafis Ma'arof, 33, pengalaman berkecimpung dalam dunia lakonan membuatkan dia semakin sedar akan tanggungjawab sebenar sebagai anak seni.
Dia juga yakin hasil kerja sebelum ini berjaya membuktikan kemampuan sehingga membuka mata ramai penerbit tempatan.

Amir mahu buktikan kejayaan menerusi lakonan.
"Awal dahulu mungkin ada rasa sedikit ralat apabila nama tak dikenali, kemudian saya sedar tanggungjawab sebagai pelakon adalah menyampaikan jalan cerita kepada penonton.
"Orang kenal atau tidak itu adalah satu bonus. Sekarang ini saya berada dalam keadaan selesa. Naik turun dalam industri saya tidak tahu. Apa yang boleh dilakukan adalah terus berusaha.
"Saya tak rasa diri ini sebagai seorang selebriti. Mungkin tak ramai kenal, tetapi orang industri kreatif kenal saya," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerap puasa 72 jam, Henley Hii kongsi rahsia awet muda
ARTIKEL BERKAITAN: Zul Ariffin perasan komen nakal netizen, mahu kekal imej sado... “Setakat ini tidak ada yang mengarut pun”
Amir ditemui ketika majlis tayangan perdana filem terbaharu lakonannya berjudul Paraxnormal yang berlangsung di GSC IOI Mall Damansara pada malam Jumaat.
Tambah pelakon ini, populariti bukanlah sasaran utama yang ingin dikejar untuk memastikan namanya terus kekal relevan.
"Pernah juga berdepan dengan situasi penerbit tak kenal saya, tapi pihak produksi yang pernah bekerjasama mereka kenal dan angkat bakat saya... itu sudah cukup bagus.
Apa yang boleh dilakukan adalah terus berusaha
AMIR NAFIS
PELAKON
"Untuk lebih dikenali mungkin saya perlu terlibat dengan genre yang menyeluruh. Saya juga tak rasa satu tekanan nama tidak dikenali.
"Tahun ini saya telah jalani penggambaran lima filem dan semuanya projek besar. Saya rasa kena tunggu giliran dan tak perlu tergesa-gesa cipta kejayaan. Kena tahu di mana saya berada dan ke mana destinasi selepas ini," ujarnya.
Bercakap tentang penglibatan dalam filem Paraxnormal, Nafis juga menganggap pengalaman terbabit dalam produksi itu adalah satu cabaran baharu kerana terbabit dalam sebuah karya genre komedi.

Barisan pelakon Paraxnormal.
Dia juga tidak menolak sekiranya menerima lebih banyak tawaran seperti ini di masa akan datang.
"Saya puas hati dengan apa yang disampaikan dalam filem ini. Mungkin ini juga membuka jalan untuk terlibat dengan lebih banyak genre komedi," jelasnya.
Selain Amir, filem terbitan Nanord Studio Production ini turut menampilkan lakonan hebat Joey Daud, Azhan Rani, Epi Kodiang, Ellie Suriaty dan Kamarool Yusoff.
Filem ini akan menemui penonton di pawagam bermula 28 Ogos ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


