suria

Ryzal minta maaf, tiada niat letak al-Quran atas sejadah

Ryzal akui tidak sengaja meletakkan al-Quran di bawah.

PERSONALITI media sosial Ryzal Ibrahim sekali lagi ditegur netizen susulan tindakannya yang didakwa kurang sensitif terhadap kitab suci al-Quran apabila meletakannya di atas sejadah. 

Mahu jernihkan keadaan, Ryzal atau Nik Muhammad Ryzal Ibrahim, 33, tampil memohon maaf atas tindakan yang tidak disengajakan ketika dia bersama anak sulungnya iaitu Rina. 

"Pertama sekali saya mohon maaf atas kekhilafan dalam video itu. Semua nampak Ryzal memang tak sengaja letak Quran atas sejadah sebab kelam kabut rehal patah.

Ryzal akur dengan kekhilafan diri.

"Tak sedar pula Rina datang dari belakang dan terlanggar. Ryzal nampak dan terus angkat balik al-Quran itu dan tak biarkan atas sejadah. 

"Tujuan asal Ryzal muat naik video itu kerana Rina menangis rehalnya patah dan tak perasan langsung kesilapan itu," katanya di hantaran Instagram pada Sabtu.

Menurutnya, dia tidak berniat langsung untuk melakukan perkara itu, lebih-lebih pada kitab suci al-Quran.

Namun, situasi menjadi tidak terkawal apabila anaknya datang daripada belakang dan tanpa sengaja melanggar kitab suci itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikecam kongsi foto isteri berpakaian ketat, Ryzal Ibrahim terima teguran dengan hati terbuka

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen marah beri anak makanan Korea, Ryzal Ibrahim kesal masih ada gagal beza agama dan budaya

"Kalau Ryzal tak tahu adab menjaga Mushaf, mustahil Ryzal baca, kongsi dengan anak isteri, dan letak atas rehal. Bila terjadinya rehal patah, lagi-lagi rehal kesayangan anak, mestilah rasa bersalah dan kelam kabut. 

"Maka tak sengaja saya terletak atas sejadah (bukan lantai) sementara mencari rehal lain. Seandainya itu mengguriskan hati ramai, maafkan insan lemah ini," katanya lagi.

Dalam pada itu,  Ryzal turut berpesan agar netizen menegur dengan cara berhemah dan bukannya dengan kata-kata kasar.

Tambahnya, dia juga manusia yang kadang kala melakukan kesilapan sama seperti orang lain.

Ryzal menunjukkan rehal yang sudah patah pada anaknya.

"Kalau kita melihat kekhilafan orang, tegurlah dengan baik. Tidak perlu nak menghina, keluar kata kesat, tuduh itu ini, seolah saya merendahkan keagungan. 

"Saya bukanlah sempurna, masih banyak perlu belajar. Berilah teguran baik dan bukan cacian,” katanya.

Sebelum ini, Ryzal berkongsi sebuah video memaparkan cubaan dirinya memujuk Rina yang sedang menangis selepas rehal kesayangannya patah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain