SETAHUN menyulam cinta, pelakon Riena Diana memberitahu dia dan kekasihnya yang juga aktor Keith Foo sudah mempunyai pelbagai perancangan mengenai masa depan mereka.
Riena atau Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, berkata Keith kini sedang mendalami agama Islam sebagai persediaan sebelum melangkah ke fasa perkahwinan.
"Keith masih dalam proses belajar, sekarang pun baru belajar doa makan dan masih belum mahir.
"Ada juga beberapa perkara lain yang kami belum bersedia untuk kongsi kepada umum, tetapi sudah tentu semuanya menggembirakan.
Riena dan Keith ambil masa sebelum rancang berkahwin.
"Kami juga nak elakkan orang mengata Keith menukar agama sebab nak kahwin. Kalau boleh, kami tak mahu buat keputusan terburu-buru seperti hari ini masuk Islam, esok terus nikah.
"Keith sendiri beritahu dia ingin memeluk Islam terlebih dahulu dan benar-benar memahami ajaran agama ini, barulah kami akan berkahwin," katanya kepada mStar.
Riena berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat yang berlangsung di Petaling Jaya, pada malam Sabtu.
Menurut Riena, dia mengaku sudah mempersiapkan nama Islam untuk Keith, sekiranya kekasih hatinya itu memilih untuk memeluk Islam kelak.
ARTIKEL BERKAITAN: Jiwang betul Keith Foo sekarang, luah kata-kata romantis buat Riena Diana
ARTIKEL BERKAITAN: Riena Diana ludah muka Faizal Hussein, takut tapi terpaksa buat!
Jelasnya, dia enggan terlalu memaksa namun gembira melihat perubahan Keith sepanjang mendalami Islam.
"Kami sudah berbincang mengenai perkara ini. Keith juga bagi saya peluang untuk pilih nama Islam, cuma kami belum sedia untuk kongsi lagi.
"Buat masa sekarang ini dia sangat okay, saya tak berani nak komen banyak tapi sudah tentu saya beri contoh yang baik. Saya bolehlah ajar sikit-sikit, selebihnya saya serahkan kepada Keith.
Sama-sama nantikan apa yang akan berlaku tahun hadapan.
KEITH FOO
PELAKON
"Sekarang pun saya sudah gembira lihat perubahan dia," katanya lagi.
Sementara itu, Keith atau Foo Chuan Chin, 42, mengakui dirinya masih dalam proses mendalami Islam dan banyak mendapat tunjuk ajar daripada Riena.
Katanya, pelbagai khabar gembira yang pasti akan dikongsikan kepada peminat pada tahun hadapan.
Riena dan Keith kerap berkongsi kemesraan di media sosial.
"Sejujurnya, sebelum kami bersama lagi saya memang sudah banyak membaca tentang Islam. Namun sejak bersama Riena, dia banyak membantu saya dari doa makan hingga kepada perkara asas lain dalam Islam yang kini sedang dipelajari.
"Saya tak mahu terlalu berkongsi secara terbuka buat masa ini. Cuma saya berharap orang ramai dapat doakan yang terbaik buat kami dan sama-sama nantikan apa yang akan berlaku tahun depan," luahnya.
Untuk rekod, Riena dan Keith mula menjalin hubungan cinta sekitar Jun 2024 selepas terlibat dalam penggambaran drama Salju Rindu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube