PELAKON Fattah Amin, 35, berpendapat setiap individu ada cara tersendiri untuk meneruskan hidup selepas melalui fasa perpisahan.
Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata, tidak salah jika seseorang cepat melupakan kisah lalu kerana setiap orang berdepan kisah hidup yang berbeza.
Fattah berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan dia dikatakan pantas ‘move on’ selepas berdepan kegagalan rumah tangga bersama aktres Nur Fazura pada 7 Oktober lalu.
Fattah yakin setiap perancangan Allah adalah yang terbaik buatnya.
“Apa yang berlaku semuanya sudah ditetapkan. Jodoh saya pun Allah dah susun.
“Jadi sama ada saya cepat ‘move on’ atau lambat, semuanya saya serah pada Allah. Itu sahaja,” katanya kepada mStar.
Fattah ditemui ketika majlis pelantikannya sebagai duta produk minuman tenaga Orang Kampung (OK) di Kuala Lumpur, pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin hadiahkan sejambak bunga, netizen kuatkan spekulasi hubungan dengan Amira Othman
ARTIKEL BERKAITAN: Tarikh nikah 25 Mei tak wujud, Fattah Amin jawab gosip kahwin Amira Othman
Bagaimanapun, Fattah tidak menafikan ada lelaki lebih mudah melupakan kisah silam berbanding wanita, tetapi semuanya bergantung kepada pengalaman hidup masing-masing.
“Kena tanya balik mereka ‘move on’ daripada sudut apa? Bagi saya, kalau berkaitan perceraian, ia berbeza bagi setiap individu.
“Kita tak boleh samakan cara orang ‘move on’ sebab semua orang hadapi fasa berbeza. Mungkin ada sebab tertentu kenapa mereka cepat melupakan. Kalau lambat pun, itu pilihan masing-masing.
“Sama juga macam jodoh, ada yang cepat tiba, ada yang lambat,” katanya.
Apa yang berlaku semuanya sudah ditetapkan
FATTAH AMIN
PELAKON
Dalam pada itu, mengulas pelantikannya sebagai duta minuman tenaga Orang Kampung, Fattah meluahkan rasa teruja dapat berganding dengan jenama yang sudah lama dikenali ramai.
“Sejak kecil, ibu bapa saya memang pengguna setia produk Orang Kampung. Saya tak pernah terfikir suatu hari nanti saya sendiri akan jadi sebahagian daripada jenama ini.
“Produk ini memang sesuai dengan rutin saya sebagai pelakon yang kadang-kadang bekerja dalam tempoh panjang.
Fattah dilantik sebagai duta produk Orang Kampung.
“Lagipun, bahan yang digunakan semuanya semula jadi, jadi saya sendiri yakin untuk mencuba,” katanya.
Untuk rekod Fattah sah bercerai talak satu dengan Fazura pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube