suria

Ameng Spring kehilangan sahabat 50 tahun, tak sangka Iskandar pergi secepat ini

Ameng (kiri) sudah bersahabat selama 50 tahun dengan Iskandar.

VOKALIS kumpulan Spring, Ameng, menyifatkan pemergian gitaris Iskandar sebagai satu kehilangan besar dalam persahabatan yang terjalin lebih 50 tahun.

Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail, 56, berkata dia mengenali arwah sejak kecil kerana mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud, Besut, Terengganu.

Katanya, Iskandar atau nama sebenarnya Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail, 56, kemudian berhijrah ke Negeri Sembilan dan mereka kembali bertemu apabila arwah menubuhkan kumpulan Spring.

Ameng sebelum ini hanya menghubungi Iskandar menerusi panggilan telefon.

Ameng mengenali Iskandar sebelum menyertai kumpulan Spring.

“Saya berkawan dengan arwah sepanjang hidup saya, lebih 50 tahun sejak sekolah rendah. 

“Arwah adalah ketua kumpulan Spring dan saya pada awalnya bukan anggota asal. Saya sertai Spring kerana menggantikan penyanyi utamanya, Amal yang sakit,” katanya.

Ameng berkata, sejak Iskandar berpindah ke kampung halaman isterinya, Nur Hidayah Cecilia di Miri, Sarawak, mereka tidak lagi bertemu dan hanya berhubung melalui panggilan telefon.

ARTIKEL BERKAITAN: Iskandar Spring meninggal dunia pada usia 56 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Anak istimewa Rahmad Mega meninggal dunia

“Sebelum ini mereka menetap di Seremban. Kemudian dia (Iskandar) sakit, jadi isterinya ambil keputusan pindah ke Miri.

“Mereka buka kafe di sana dan Cecilia bekerja di salun. Sejak enam bulan lalu, kesihatan Iskandar makin merosot, bercakap pun dah kurang faham.

“Saya selalu telefon dia dan berbual tentang royalti. Dari situ nampak kesihatannya makin merosot, tapi tak sangka dia pergi secepat ini,” katanya lagi.

Ameng menerima berita duka itu daripada Cecilia yang memaklumkan arwah mengadu penat dan mahu tidur sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.30 pagi Selasa.

“Cecilia beritahu malam tadi Iskandar sudah nampak lain. Dia bantu tidurkan sambil bacakan ayat Al-Quran dan ajar mengucap. Dalam jam 1.30 pagi, Iskandar sudah pergi.

“Kami dimaklumkan jenazah sudah dimandi dan disolatkan. Solat jenazah diimamkan oleh anaknya. Iskandar ada tiga anak lelaki dan semuanya tahfiz.

Iskandar meninggal dunia pada pagi Selasa.

Iskandar meninggal dunia pada pagi Selasa.

“Alhamdulillah, urusan di sana dipermudahkan. Saya nak ke Miri, Sarawak agak jauh, jadi saya hanya mampu doakan sahabat saya itu,” ujarnya.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi Music Malaysia, Ayob Abd Majid memaklumkan Iskandar meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Miri.

Untuk rekod Allahyarham diduga dengan pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, kesukaran bertutur, lumpuh selain perlu menjalani rawatan dialisis akibat komplikasi buah pinggang dialaminya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain