suria

Iskandar Spring meninggal dunia pada usia 56 tahun

Iskandar meninggal dunia pada pagi Selasa.

GITARIS kumpulan Spring iaitu Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail, 56, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Miri, Sarawak, kira-kira jam 1 pagi Selasa.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Music Malaysia, Ayob Abd Majid menerusi hantaran terbaharu di Facebook miliknya.

"Saya dengan penuh rasa hiba dan dukacita ingin mengucapkan takziah atas pemergian sahabat lama Iskandar Spring yang telah kembali ke rahmatullah.

“Arwah bukan sekadar seorang pemuzik berbakat dan pengasas kumpulan Spring, malah juga seorang sahabat seperjuangan yang sangat dekat di hati saya. 

Iskandar merupakan pengasas kumpulan Spring.

“Kami pernah bekerja rapat semasa saya bertugas di Sony Music, di mana kumpulan Spring berada di bawah jagaan saya ketika itu. Hubungan kami bukan sekadar profesional, malah penuh nilai persahabatan dan saling menghormati,” katanya.

Ayob memberitahu kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham adalah untuk memberi sumbangan kepada selebriti berkenaan.   

“Saya turut bersedih kerana mengikuti rapat keadaan kesihatan arwah yang diuji dengan strok dan kegagalan buah pinggang, sebelum berhijrah ke Miri, kampung isterinya. 

“Kali terakhir kami berhubung ketika saya menyampaikan sedikit sumbangan.  Suaranya tetap tenang, sabar dan penuh rasa syukur walaupun dalam ujian yang berat,”’katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penolong Pengarang Berita Hiburan BH Raja Nurfatimah Mawar meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Anak istimewa Rahmad Mega meninggal dunia

Dalam masa sama, Ayob menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat industri hiburan tanah air.

“Arwah tidak pernah dilupakan oleh sahabat-sahabat seni. Malah kami di Konsortium Irama, bersama PJ Art Lane, Ameng Spring, dan Umarul Iklim pernah menganjurkan program amal khas untuk membantu meringankan beban beliau ketika sedang uzur. 

“Program itu bukan sekadar mengumpul dana, tetapi lambang kasih dan setia kawan dalam dunia seni tanah air.

Saya turut bersedih kerana mengikuti rapat keadaan kesihatan arwah yang diuji dengan strok dan kegagalan buah pinggang. 

AYOB ABD MAJID

TIMBALAN PRESIDEN MUSIC MALAYSIA

“Pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat dunia muzik Malaysia. Legasi arwah  akan terus dikenang,” katanya.

Difahamkan jenazah sedang dimandikan dan disolatkan di masjid serta akan dikebumikan pagi ini.

Sebelum ini Allahyarham diduga dengan pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, kesukaran bertutur, lumpuh selain perlu menjalani rawatan dialisis akibat komplikasi buah pinggang dialaminya.

Untuk info, kumpulan Spring diasaskan oleh Iskandar pada 1987. 

Iskandar (tengah) bersama anggota kumpulan Spring.

Pada asalnya, kumpulan ini diberi nama sebagai Anthem dengan dianggotai oleh Zaha (gitaris) dan Amat selaku vokalis. 

Ketika proses rakaman album pertama pada 1990, Amat meninggalkan kumpulan ini kerana masalah kesihatan dan digantikan dengan Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail. 

Antara lagu-lagu popular Spring termasuk Bourgenvilla, Sampai Hati, Sinar Abadi dan Rapuh. 

Pada 2019, Iskandar mengambil keputusan untuk bersara kerana berdepan masalah kesihatan.

Masalah gout yang dihidapi menyukarkan pergerakannya sebagai pemain gitar.  Malah lebih 10 tahun Iskandar solat di atas kerusi atas faktor kesihatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain