suria

Rita Rudaini terima anugerah Pingat Jasa Baik, hadiah istimewa sempena 28 tahun dalam dunia seni

Rita menerima anugerah darjah kebesaran dan pingat negeri Perlis.

PELAKON Rita Rudaini Mokhtar, 49, melakar satu lagi detik manis dalam perjalanan seninya apabila menerima Anugerah Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Istana Arau pada Isnin, Rita menerima Pingat Jasa Baik (PJB), sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan pencapaiannya dalam bidang seni tanah air khususnya lakonan, selain usaha murninya terhadap aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan.

Rita, yang sudah berkecimpung dalam bidang seni hampir 28 tahun, dikenali sebagai antara pelakon wanita paling konsisten dan berprinsip dalam industri hiburan tanah air.

Rita menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan negeri Perlis.

Rita melahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan tersebut.

"Saya amat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Raja Perlis atas penganugerahan ini. 

"Ia adalah satu penghormatan besar dan saya anggap sebagai rezeki bukan hanya untuk diri saya, tetapi juga buat anak-anak serta semua yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rita Rudaini ulas isu buli di sekolah, berbeza cara fikir pelajar dulu dan sekarang... “Lahir zaman canggih tapi otak tak canggih”

ARTIKEL BERKAITAN: Anak minat jadi pelakon, Rita Rudaini minta cari kerja jamin masa depan

Rita berkata, penghargaan ini menyuntik semangat dirinya untuk terus berkarya dengan lebih tekun dan berintegriti. 

"Ini juga menjadi peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas dan jujur akan ada nilainya, lambat atau cepat.

"Saya berharap agar pengiktirafan ini turut menjadi inspirasi kepada anak seni lain agar terus berkarya dengan penuh dedikasi dan menjaga maruah profesion sebagai insan seni," katanya.

Pada masa sama, Rita menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan negeri Perlis dan semua pihak yang banyak memberi sokongan sepanjang kerjayanya.

"Terima kasih kepada Exco kerajaan negeri yang terbabit atas pengiktirafan ini. Insya-Allah, akan ada banyak aktiviti bersama mereka nanti. 

Rita mendapat suntikan semangat untuk terus berkarya.

“Tidak terkecuali kepada semua pihak seperti penerbit, pengarah dan penggiat seni yang sentiasa menghargai bakat saya.

"Tidak dilupakan kepada semua rakan media dan peminat yang tanpa henti memberi sokongan daripada dulu sampai sekarang," katanya.

Penganugerahan yang berlangsung hari ini turut menyaksikan beberapa tokoh lain dari pelbagai bidang menerima darjah kebesaran masing-masing.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain