SUSULAN berita pemergian anak istimewanya iaitu Allahyarham Nur Ara Elisya, penyanyi Rahmad Mega reda dengan takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Kata Rahmad atau Rahmad Tohak, 56, arwah baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-16 dan seorang yang ceria sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Ahad.
Malah Rahmad menyifatkan anaknya itu sebagai seorang yang kuat kerana tidak pernah mengeluh sepanjang bertarung dengan penyakit yang dihidapinya.
Rahmad sifatkan Allahyarham seorang yang sangat kuat dan tabah.
"Arwah anak saya baru sahaja sambut hari jadi ke 16, pada 18 jun lalu dan dia seorang yang sangat ceria.
"Anak saya ini sangat kuat dan tak pernah mengeluh pun. Sentiasa senyum dan ceria sepanjang masa walaupun dalam kesakitan.
"Saya dan Ainina (bekas isteri) berbincang dan berkata pada anak, kalau adik rasa dah sampai masa untuk pergi, kami rela melepaskan dan reda," katanya.
Mengulas mengenai keadaan kesihatan Nur Ara Elisya yang tiba-tiba merosot, Rahmad memberitahu paru-paru arwah kembali dijangkiti kuman pada awal bulan ini sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
ARTIKEL BERKAITAN: Anak istimewa Rahmad Mega meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: Rahmad Mega puji artis veteran cari duit guna TikTok, lebih baik daripada tunggu tawaran kerja
Ketika nadinya sudah tidak memberikan reaksi, arwah yang terpaksa melalui bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sekitar 25 minit tidak memberikan sebarang tindak balas sebelum doktor mengesahkan Allahyarham sudah pergi buat selama-lamanya.
"Jangkitan dia mula merebak sebab dia ada kes dalam ICU sebelum ini fasal paru-paru juga. Jadi mungkin ada kuman yang baru.
"Keadaan paru-paru dia makin kronik. Doktor masukkan dia semula ke ICU pada 20 Jun.
"Arwah susah nak bernafas hingga terpaksa buat CPR supaya jantung dia digerakkan balik kerana jantung 'drop' (menurun) amat kronik.
Anak saya ini sangat kuat dan tak pernah mengeluh pun.
RAHMAD MEGA
PENYANYI
"Sesi CPR dilakukan sekitar 20 hingga 25 minit namun usaha yang dibuat itu tidak berhasil dan kami reda dengan takdir yang ditetapkan oleh Tuhan," jelasnya.
Jelas Rahmad, selepas Allahyarham melakukan pembedahan tulang belakang pada Disember tahun lalu, keadaan kesihatannya semakin teruk.
Malah Allahyarham dimasukkan ke ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) selama tiga bulan untuk pakar memantau keadaannya sebelum dibenarkan pulang.
Bagaimanapun pada awal Jun, Allahyarham yang kembali bertemu pakar bagi sesi pemeriksaan susulan mendapati terdapat kuman dalam paru-parunya sehingga dia perlu jalani pelbagai ujian.
Jenazah Nur Ara Elisya selamat dikebumikan pada pagi Isnin.
Untuk rekod, Nur Ara Elisya merupakan anak hasil perkahwinan Rahmad bersama pelakon Ainina Ahmad B.
Mereka turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan iaitu Nur Arieana.
Jenazah Nur Ara Elisya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah, Kuala Lumpur pada pagi Isnin.
Upacara tersebut turut dihadiri oleh rakan-rakan artis antaranya Ameng Spring, Zamani, Amir Ukays, Afee Utopia dan ramai lagi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube