SELEPAS 30 tahun menggegarkan industri muzik, buat julung kalinya kumpulan Elite akan mengadakan konsert Elite Live 25 di Dewan Plenary Kuala Lumpur pada 20 September depan.
Menurut anggota kumpulan Elite, Linda Rafar, pada mulanya mereka bimbang untuk menerima tawaran daripada penganjur Icon Entertainment kerana mengenangkan sudah lama tidak beraksi di atas pentas.
Namun mengambil kira sokongan positif yang diterima daripada peminat, Elite akhirnya bersetuju mengadakan konsert buat kali pertama.
Elite adakan konsert sulung selepas 30 tahun.
"Sejujurnya kami gusar memikirkan banyak perkara kerana Elite sudah lama tidak melakukan persembahan pentas apatah lagi dalam konsert berskala besar.
"Namun keputusan ini dibuat selepas karya-karya yang dihasilkan masih digemari, relevan dan kami mahu berpesta dengan peminat lama selain meraikan peminat yang baru mengenali kami," katanya.
Dalam pada itu, Linda turut memberitahu mereka berharap dapat memberikan persembahan terbaik pada malam konsert.
Tambahnya, Elite kini dalam persediaan untuk menurunkan berat badan agar dapat menjaga stamina dengan baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pekerja lari nampak suami Azza Elite, tergamak tinggalkan isteri di pasar raya elak bersemuka
ARTIKEL BERKAITAN: EKSKLUSIF! Berderai Air Mata Hana (Elite) Perbuatan Rakan Sendiri
"Saya harap semua perancangan kami berjalan lancar dan semoga persembahan kami nanti dapat menghiburkan peminat yang hadir.
"Buat masa sekarang kami cuba untuk menurunkan berat badan supaya dapat mengekalkan stamina yang baik di atas pentas," ujarnya.
Sementara itu, pengasas Icon Entertainment Iman Tang, memberitahu keputusan penganjuran konsert ini dibuat selepas persembahan Elite menerima sorakan luar biasa peminat di konsert genKRU pada Mei lalu.
Elite nekad turun berat badan sebelum konsert.
Kata Iman, pihaknya ingin meneruskan kecemerlangan untuk membawa kumpulan berkenaan ke pentas besar.
"Penganjuran Elite Live '25 ini akan menjadi sejarah penting bukan hanya kepada kumpulan ini (Elite) tetapi industri muzik.
"Ia membuktikan karya-karya hebat yang dihasilkan pada tahun 90-an masih menjadi kegemaran ramai," katanya.
Selain Linda, Elite turut dianggotai oleh Abby Abadi, Sasha Saidin, Watie Sadali dan Azza Zawari.
Peminat boleh mendapatkan tiket mengikut kategori dengan harga bermula RM268 hingga RM1088.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube