suria

Penerbit Misteri Fraser 1910 sengaja tak jemput pengarah, mahu elak kekecohan

Elani (kiri) dan Amai sudah beri peluang pengarah selesaikan di luar mahkamah.

PENERBIT filem Misteri Fraser 1910 tidak menjemput pengarah filem tersebut, Shuhaimi Zulkefli, ke majlis tayangan perdana yang diadakan pada malam Rabu.

Menurut Amai Kamarudin dan Elani Aidid, keputusan itu dibuat berikutan kemelut yang masih belum selesai antara mereka selain ingin mengelakkan suasana tegang sepanjang acara itu berlangsung.

“Kami hanya mengundang mereka yang mempunyai hubungan baik dengan kami. Dia satu-satunya yang kami tidak undang. 

Hanya barisan pelakon seperti Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra, Josiah Hogan dan penerbit diundang berkongsi pengalaman penggambaran.

"Hubungan kami masih belum baik dan seperti yang semua tahu, kes mahkamah sedang berjalan. Ini sudah cukup menggambarkan keadaan sebenar,” katanya kepada mStar.

Kedua-dua penerbit ditemui pada majls tayangan perdana filem Misteri Fraser 1910 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Walaupun berlaku ketegangan diantara mereka, Elani menegaskan pihaknya tetap mengekalkan nama pengarah itu dalam semua bahan promosi filem bagi mengekalkan tahap profesionalisme.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit ‘Misteri Fraser 1910’ tuntut pengarahnya mohon maaf, minta ganti rugi RM1 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan peneroka Bukit Fraser dijadikan filem, penerbit dapat ilham selepas baca kisahnya

“Nama dia masih kami letakkan di poster serta bahan promosi lain, walaupun dia ada menghantar dokumen meminta agar namanya tidak digunakan. 

"Kami tetap letak kerana kami menghargai kerja yang telah disempurnakan olehnya,” jelasnya.

Dalam masa sama, Elani menjelaskan Shuhaimi tidak terlibat dalam proses penyuntingan filem selepas tamat penggambaran sebaliknya dia bertindak meninggalkan kumpulan WhatsApp produksi tanpa sebarang penjelasan lanjut.

Kami berbalas kenyataan di media sosial sehingga akhirnya dia cuba menghalang tayangan filem ini. 

AMAI KAAMARUDIN

PENERBIT 

“Kerja dia hanya setakat hari terakhir penggambaran. Proses suntingan sepenuhnya dijalankan oleh kru lain. 

"Kami juga cuba menghubunginya, tapi dia kata sibuk dengan penggambaran lain. Segala bayaran diselesaikan seperti yang dijanjikan sehingga penggambaran selesai saja,” ujarnya.

Sementara itu, Amai menjelaskan tindakan undang-undang diambil sebagai langkah untuk menghentikan perbalahan di media sosial serta membersihkan nama baik mereka.

“Kami sudah berkawan lama, dan isu ini berlarutan hampir setahun. Kami berbalas kenyataan di media sosial sehingga akhirnya dia cuba menghalang tayangan filem ini. 

Amai dan Elani ambil tindakan undang-undang pada Mac lalu.

"Atas nasihat, kami mahu hentikan semua kenyataan di media sosial dan pilih untuk selesaikan secara undang-undang,” tambahnya.

Pada Mac lalu kedua-dua penerbit itu menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta dan permohonan maaf daripada Shuhaimi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah.

Tuntutan itu dibuat selepas Shuhaimi didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di media sosial miliknya pada 23 Mac lalu mendakwa syarikat berkenaan tidak membayar gaji kru sehingga filem tersebut disekat daripada ditayangkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain