suria

Misteri kehilangan peneroka Bukit Fraser dijadikan filem, penerbit dapat ilham selepas baca kisahnya

Misteri Fraser 1910 bakal ditayangkan di pawagam pada Jun ini.

KEINDAHAN dan suhu dingin di Bukit Fraser di Pahang membuatkan ramai menjadikan ia destinasi percutian bersama rakan-rakan dan keluarga.

Namun di sebalik panorama indah, ia juga terkenal dengan pelbagai kisah seram termasuk kehilangan peneroka Bukit Fraser dari Scotland yang kekal misteri sehingga ke hari ini.

Kisah itu bagaimanapun memberi ilham kepada penghasilan filem berjudul Misteri Fraser 1910.

Misteri Fraser 1910 mengangkat dari inspirasi kisah benar di Bukit Fraser.

Menurut penerbit Elani Aidi, idea menghasilkan naskhah ini tercetus ketika sedang mencari lokasi penggambaran sebuah filem lain di Bukit Fraser sekitar enam tahun lalu. 

"Ketika berada di situ, kami ada terbaca sejarah mengenai Mr Fraser yang hilang secara misteri selepas menemui lubuk biji timah dan langsung tidak ditemui. 

"Malah ada beberapa laluan mendaki di situ turut dinamakan sempena orang-orang yang terlibat dalam pencarian Mr Fraser seperti Bishop Trail dan Abu Suradi Trail. 

ARTIKEL BERKAITAN: Osman Ali kembali dengan filem misteri, ‘Telaga Suriram’ bakal buat penonton tak senang duduk

ARTIKEL BERKAITAN: Angkat kisah tokoh silat Meor Abdul Rahman, pengarah ada sebab pilih Beto Kusyairy teraju ‘Gayong’

"Jadi ia telah memberikan ilham kepada saya untuk terus mengkaji dan mencipta teori fiksyen kehilangan peneroka berkenaan," katanya. 

Dalam pada itu, Elani memberitahu filem yang bakal dihasilkan ini adalah inspirasi dari kisah benar tentang kejadian yang berlaku 115 tahun lalu. 

Penceritaan ditokok tambah menerusi hasil kajian cerita penduduk setempat dengan elemen komersial untuk menarik tontonan di pawagam. 

"Apa boleh saya katakan, 50 peratus adalah berdasarkan kisah benar manakala 50 peratus lagi sekadar fiksyen serta skrip filem ini dibiayai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi Dana Perkembangan Skrip Filem. 

Hariesa membintangi filem Misteri Fraser 1910.

"Penulis skrip kami dibimbing dan dipantau panel skrip Finas yang berpengalaman dalam mengendalikan perkembangan cerita dari permulaan sehingga tamat supaya jalan ceritanya menarik,” ujarnya. 

Misteri Fraser 1910 mengisahkan Louis James Fraser yang hilang tanpa jejak melainkan keretanya ditemui di pinggir jalan sebuah kawasan hutan. 

Filem ini bakal menampilkan barisan pelakon seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra dan ramai lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain