suria

Bekas wartawan, penerbit majalah Pesta Fauziah Rauf meninggal dunia

Fauziah banyak berjasa dalam bidang penulisan.

BEKAS wartawan, Fauziah Rauf meninggal dunia di Hospital Selayang pada awal pagi Ahad akibat pendarahan di kepala. 

Berita sedih itu dikongsi oleh anak Allahyarham Nilly Wahida Omar Sudi yang memaklumkan ibunya terjatuh di kediaman mereka sebelum dibawa ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan. 

"Arwah terjatuh dan berlaku pendarahan pada kepalanya. Sebelum ini pun hanya sakit darah tinggi tapi makan ubat sepeti biasa," katanya ringkas ketika dihubungi mStar. 

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun. 

Gambar kenangan Fauziah bersama arwah suami. 

Fauziah sebelum ini pernah berkhidmat sebagai wartawan majalah Wanita bawah syarikat akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. 

Selain itu dia juga pernah menubuhkan syarikat penerbitan Nilly Publications yang menerbitkan majalah Pesta, Hawa dan Pentas Dunia. 

Sepanjang aktif sebagai penerbit majalah, Allahyarham banyak memberi sumbangan terhadap bidang seni tanah air. 

Majalah Pesta misalnya antara penerbitan hiburan popular yang menyiarkan kisah-kisah artis tanah air. 

ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan Huzz pencetus nama Datuk K meninggal dunia, sempat tinggalkan pesanan terakhir 

ARTIKEL BERKAITAN: Derita kanser tahap empat, PM hulur sumbangan kepada wartawan hiburan Huzz

Malah jasanya pernah diiktiraf apabila menerima Anugerah Tokoh Wartawan Berjasa sempena Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia, (AKIFMA) 2017, anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Fauziah juga pengasas WHAM dan merupakan presiden pertama persatuan itu. 

Suami beliau Allahyraham Omar Sudi atau lebih dikenali sebagai Omar Manan merupakan pelakon drama tahun 1990-an dan juga pengasas persatuan Seniman. 

Allahyarham meninggalkan empat orang anak dan 13 cucu.

Antara jasa lain Allahyarham apabila berjaya mengangkat nama Malaysia dalam bidang hiburan dengan membawa penyanyi tempatan dalam pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan.  

Pertandingan itu turut menyaksikan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin memenangi tempat utama (Grand Prix)  pada 2002 menyebabkan beliau digelar Celine Dion Asia.

Jenazah dijadual dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam, Selayang Baru, Selangor pada Ahad.

Dalam pada itu Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin bagi pihak seluruh wartawan hiburan mengucapkan takziah keatas keluarga Allahyarham atas berita duka ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain