TIGA selebriti bakal hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis bagi memberi keterangan berhubung sindiket syarikat perunding kewangan. Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memberitahu ketiga-tiga selebriti itu akan hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 10 pagi. Azam bagaimanapun menjelaskan kesemua selebriti itu bukan suspek sebaliknya keterangan mereka diambil bagi melengkapkan kertas siasatan. Selebriti yang menjadi duta dilaporkan menerima bayaran sehingga RM400,000. "Kami memanggil mereka untuk membantu siasatan berhubung Ops Sky. "Ini tidak bermaksud mereka adalah suspek. Mereka hanya dipanggil untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya kepada Sinar Harian. Pada 2 Februari lalu, media melaporkan pihak SPRM akan memanggil beberapa selebriti yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky. ARTIKEL BERKAITAN: Dibayar sehingga RM400,000 sebagai duta syarikat perunding kewangan, SPRM panggil selebriti terlibat minggu depan ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sangkal terima bayaran RM400,000 sebagai duta, Jalaluddin Hassan sedia beri kerjasama jika dipanggil SPRM Difahamkan kesemua selebriti terbabit dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit yang bertindak sebagai duta. Siasatan terhadap selebriti berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM). Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM turut mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi tersohor negara. SPRM memanggil beberapa selebriti yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat perunding kewangan. Pihak SPRM juga mendedahkan sejumlah wang sebanyak RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman diluluskan bank-bank pada satu masa. Sejak tiga minggu lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan. Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!