BEBERAPA selebriti akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky. Mereka yang menjadi duta dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit. Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memanggil selebriti yang terlibat minggu depan bagi membantu siasatan. Azam mengesahkan pihak SPRM akan memanggil selebriti yang terlibat minggu depan “Daripada keterangan dan semakan kewangan yang diperoleh, selebriti-selebriti ini menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat. “SPRM juga mengesan terdapat bayaran turut dibuat untuk tajaan konsert dan gubahan lagu khas bagi pihak sindiket itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian. Siasatan terhadap selebriti berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM). Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM turut mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi tersohor negara. ARTIKEL BERKAITAN: SPRM sahkan Alif Teega didakwa di mahkamah esok ARTIKEL BERKAITAN: SPRM beku 20 akaun bank Alif Teega dan Aisyah Hijanah bernilai RM740,000 Dalam pada itu, SPRM mendedahkan sejumlah RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman diluluskan bank-bank pada satu masa. Sejak tiga minggu lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan. Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!