SERAMAI 11 individu termasuk tujuh kanak-kanak dan empat wanita disyaki mengalami keracunan makanan selepas menjamah kek hari jadi dalam satu majlis pada Sabtu.Daripada jumlah itu, tiga daripada kanak-kanak terbabit kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU). Menurut laporan media tempatan, kanak-kanak berkenaan memberitahu doktor bahawa terdapat bangkai cicak di dalam kek yang dimakan mereka.Kejadian berlaku di Neelkantheshwar, Nalasopara East, India, ketika seorang wanita berusia 25 tahun mengadakan sambutan majlis hari jadinya.Sekitar pukul 6 petang, beberapa kanak-kanak dari kawasan kejiranan datang membawa sebiji kek untuk sambutan tersebut.Bagaimanapun, tidak lama selepas menikmati kek itu, beberapa daripada mereka mula mengadu mengalami rasa 'panas' pada bahagian dada sebelum muntah.Kesemua mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Vijayalaxmi yang terletak berdekatan untuk mendapatkan rawatan."Kesemua pesakit yang sedang menerima rawatan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Vidya Sawant.Susulan kejadian itu, polis bergegas ke hospital selepas menerima maklumat mengenai insiden berkenaan.Difahamkan, kek tersebut dibeli dari sebuah kedai kek di Takipada.Polis turut mengambil sampel kek berkenaan sebelum menghantarnya ke makmal untuk ujian.Punca sebenar kejadian hanya akan dapat dikenal pasti selepas keputusan ujian makmal diperoleh. -Agensi