Anwar ketika menyampaikan ucapan penggulungan presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 pada Ahad. -Foto Bernama
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen, dengan menegaskan dana itu akan disalurkan terus untuk kepentingan rakyat.Anwar berkata, peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan dana pembangunan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya komuniti berdepan masalah kemiskinan dan banjir. "Saya memikul tanggungjawab ini. Saya berjanji untuk membantu golongan miskin."Jika masalah itu berlaku setiap tahun selama berpuluh-puluh tahun sehingga kehidupan mereka terganggu akibat banjir, saya tidak selesa menjadi Perdana Menteri tetapi membiarkan rumah, kampung dan punca pendapatan mereka musnah akibat banjir," katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, pada Ahad.ARTIKEL BERKAITAN: Perbelanjaan rakyat makin meningkat, Anwar beri bayangan tambah peruntukan SARAAnwar berkata kerajaan bersedia menerima kritikan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen, namun menegaskan peruntukan untuk rakyat tidak pernah dikurangkan."Kita boleh menerima kritikan yang membina. Tetapi peruntukan tidak pernah dikurangkan."Malah, hari ini saya ingin mengumumkan tambahan RM1 juta untuk setiap kawasan Parlimen, khusus untuk rakyat," katanya sambil menegaskan, keputusan menyalurkan peruntukan kerajaan perlu dibuat berdasarkan keperluan rakyat dan bukannya pertimbangan politik.Beliau turut berkata Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.Katanya, projek-projek segera membabitkan keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan tebatan banjir telah diluluskan serta dilaksanakan di empat negeri berkenaan.Dalam pada itu, Anwar berkata beliau tidak mahu terganggu dengan serangan peribadi atau kritikan yang dilemparkan terhadapnya, termasuk menerusi podcast."Kalau tanya saya, saya jarang menyebut nama orang. Mereka menghina saya setiap malam dalam podcast, tetapi saya tidak memberi respons."Tahu kenapa? Saya ada kerja yang perlu dilakukan."Kita perlu bekerja dan menunjukkan prestasi, bukannya memberi respons kepada setiap kecaman serta membangkitkan kemarahan orang," katanya. -The Star