PILIHAN raya negeri (PRN) Melaka bakal menyaksikan pasangan adik-beradik, Dr Muhammad Solehin Saleh dan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berada di pihak berbeza dalam kancah politik, namun persaingan antara parti tidak akan sesekali bertukar menjadi perselisihan keluarga.Dr Solehin, 40, yang dinamakan sebagai calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi kerusi Bemban berkata, keputusannya untuk bertanding di bawah parti berbeza tidak akan menjejaskan hubungan rapatnya dengan Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda Umno. "Politik bukan agama. Hubungan antara adik-beradik lebih penting daripada politik."Kami sangat rapat. Anak-anak dia seperti anak saya sendiri dan anak-anak saya juga seperti anak dia. Ibu kami turut hadir malam ini."Walaupun orang di luar atau media berkata macam-macam, kami tidak pernah bergaduh. Dia adik yang baik dan saya abang yang baik. Semuanya baik-baik sahaja," katanya kepada pemberita selepas Bersama memperkenalkan calon-calonnya bagi PRN Melaka di Melaka Baru pada Sabtu.Dr Solehin yang baru-baru ini meletakkan jawatan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, dia sudah lama terlibat dalam politik dan kerja kemasyarakatan, termasuk bersama Dr Akmal sebelum adiknya itu menyertai politik kepartian.Dia turut menolak dakwaan kempennya akan dibayangi kedudukan politik Dr Akmal, sebaliknya berkata kedua-dua mereka mempunyai rekod khidmat masyarakat tersendiri."Saya sudah aktif dalam politik hampir sama lama dengannya, walaupun kami tidak berada dalam parti yang sama."Sebelum ini saya bersama Amanah tetapi sudah meletakkan jawatan. Di Merlimau dan Bemban, kami berdua banyak membantu masyarakat."Malah sebelum Akmal masuk politik, kami sudah terbabit dalam kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Jadi, tidak timbul soal seorang daripada kami berada dalam bayangan seorang lagi," katanya.Dr Solehin berkata, pengalamannya di Bemban ketika berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Jasin turut mempengaruhi keputusannya untuk bertanding di kerusi berkenaan."Sebelum ini saya merupakan Ahli Majlis Perbandaran Jasin yang bertanggungjawab terhadap satu zon di Bemban.“Kami mahu mula mendekati masyarakat lebih awal supaya mereka dapat mengenali parti kami," katanya.Terdahulu, pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli hadir pada majlis pengumuman 15 calon parti itu bagi bertanding dalam 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.Selain Bemban, Bersama akan bertanding di Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Sungai Udang, Paya Rumput, Klebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Telok Mas dan Serkam. - The Star.