suria

Wanita hamil mengidam brownie air tangan, Sherry Alhadad bingung nak buat penghantaran - “Tak sampai hati kalau tak tunaikan, nak pos takut kek pecah pula”

Kek brownie air tangan Sherry Alhadad mendapat sambutan menggalakkan.

TIDAK terikat dengan jadual penggambaran dan aktiviti seni lain membuatkan segelintir daripada selebriti tempatan mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan makanan.

Pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad, 37, juga tidak terkecuali dalam hal ini kerana dia turut mula berjinak-jinak menjual kek coklat brownie hasil air tangannya sejak bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu ‘body shaming’ Sherry Alhadad tak terasa hati, anggap Usop macam adik - “Saya faham niat dia nak bergurau”

"Kebetulan sebenarnya saya dan pembantu peribadi tiba-tiba dapat idea spontan nak buat bisnes makanan sebab sepanjang tempoh PKP memang saya tidak ada terlibat dalam sebarang aktiviti penggambaran.

"Saya pilih nak jual brownie pun sebab orang lebih suka beli makanan selain saya sendiri suka baking. Kalau nak tahu, saya lebih suka baking daripada memasak sebenarnya sebab prosesnya lebih mudah, tak perlu nak potong cili, potong bawang semua," katanya kepada mStar.

Sherry seronok bakar kek siapkan tempahan pelanggan.

Sejak mula berniaga, Sherry tidak menafikan sambutan yang diterima amat menggalakkan malah dia kini sedang buntu memikirkan cara untuk menghantar brownie kepada seorang peminatnya yang kini sedang sarat hamil, menetap di Perak.

"Saya sekarang tengah buntu sebenarnya tak tahu nak buat macam mana sebab ada seorang wanita mengandung yang mengidam nak makan brownie saya. Suami dia WhatsApp pada admin yang uruskan tempahan kek.

Saya pilih nak jual brownie pun sebab orang lebih suka beli makanan selain saya sendiri suka baking.

SHERRY ALHADAD

PELAKON, PENGACARA

"Sekarang kita dalam tempoh PKP... saya kasihan sebab kita tahu kan macam mana mengidam perempuan mengandung ini, tak sampai hati kalau tak dapat tunaikan.

"Walaupun saya belum pernah mengandung (berseloroh), tapi saya tahu tahap kempunan kalau tak dapat apa yang diidamkan itu macam mana. Kalau guna khidmat penghantaran secara pos, saya takut kek itu akan pecah pula nanti," katanya.

Kek yang diadun menggunakan resipi Sherry dan pembantu peribadinya, Aqilah dijual pada harga RM45 sebiji.

Trio pengacara AJL35, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni.

Sementara itu, dalam perkembangan seni, Sherry akan kembali ke pentas pengacaraan Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang dijadualkan bersiaran pada 14 Mac depan.

Pada malam anugerah itu nanti, Sherry akan turut bergandingan dengan Awal Ashaari dan Haziq Hussni selaku hos bersama.

"Sekarang ini sejujurnya saya berharap perancangan untuk mengadakan AJL35 pada 14 Mac ini dapat dilaksanakan.

"Tapi macam mana pun kita kena tengok juga situasi semasa negara yang masih lagi dibelenggu pandemik Covid-19.

"Apa-apa pun kita berserah sahaja dan kena ikut semua yang direncanakan mengikut norma baharu," katanya yang bakal mengacarakan AJL35 tanpa kehadiran penonton seperti kebiasaannya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain