suria

ntv7 ucap selamat tinggal selepas 22 tahun beroperasi, beri laluan kepada Didik TV KPM

Sitkom Spanar Jaya antara yang pernah menghiasi program ntv7.

SETELAH lebih 22 tahun bersiaran, saluran televisyen Natseven TV Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai ntv7 akhirnya mengucapkan selamat tinggal bagi memberi laluan kepada saluran khusus tv pendidikan baharu, DidikTV KPM yang akan memulakan siarannya pada Khamis.

Stesen televisyen itu banyak menyiarkan pelbagai program menarik antaranya seperti sitkom Spanar Jaya, Phua Chu Kang serta siri kartun kegemaran ramai, Doraemon dan Shin Chan.

ARTIKEL BERKAITAN: ntv7 Terima 10 pencalonan Anugerah Televisyen Asia 2012

Sementara itu, DidikTV KPM akan bersiaran bermula pukul 7 pagi sehingga pukul 12 tengah malam setiap hari, merupakan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

DidikTV akan mula bersiaran Khamis ini.

Majlis pelancaran akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu pukul 8 pagi dan akan disiarkan menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI).

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan KPM, DidikTV akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM dan boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran NTV7 di TV Unifi.

Sementara itu, Media Prima Berhad menjelaskan bahawa terdapat tiada perubahan kepada pemilikan saluran televisyen di bawah Rangkaian Televisyen TV Sdn Bhd dan ia juga tidak berhenti operasi seperti tanggapan sesetengah pihak.

DidikTV KPM merupakan kolaborasi komersil strategik di antara Media Prima dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara melalui capaian luas Media Prima di dalam menerbitkan kandungan berkualiti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain