Anak Abby Abadi meninggal dunia - “Maafkan abah sebab tak dapat uruskan untuk kali terakhir”

Abby dan suami melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat menguruskan jenazah anak mereka, Muhammad Danial Firman Faizal kerana berada di Tanah Suci Makkah.

SELEPAS lebih dua bulan bertarung nyawa, anak kepada pelakon Abby Abadi, Muhammad Danial Firman Faizal meninggal dunia akibat komplikasi pada hati.

Berita sedih itu dikongsikan Abby dan suami, Muhammad Faizal Zakaria menerusi Instagram pada awal pagi Ahad.

Bagaimanapun kedua-dua mereka kini berada di Tanah Suci Makkah bagi menunaikan umrah sejak Khamis lalu melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat menatap wajah anak mereka buat kali terakhir.

ARTIKEL BERKAITAN: Abby Abadi tunai umrah, tinggalkan 27 pek susu untuk anak di hospital - “Mama, abah nak doakan baby depan Kaabah”

ARTIKEL BERKAITAN: Abby Abadi selamat lahir bayi lelaki pramatang, berat hanya 535 gram

“Sedih sangat-sangat sebab abah tak dapat jumpa Baby D untuk kali terakhir... abah tak dapat nak uruskan Baby D.

“Maafkan abah sayang sebab tak dapat uruskan untuk kali terakhir,” tulisnya di Instagram.

Abby dan Faizal berkongsi foto ketika mengerjakan umrah.

Sementara itu Abby menerusi Instagram turut memaklumkan bahawa jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat di Kuala Lumpur.

“Maafkan mama dan abah sayang. Pak ngah, mak teh dan pak teh akan uruskan jenazah selepas subuh esok.

“Baby D, tarik mama dan abah masuk syurga nanti ye sayang,” luah Abby.

Muhammad Danial dilahirkan pra matang seberat 535 gram pada 27 September lalu.

Khamis lalu sebelum Abby sekeluarga berangkat mengerjakan umrah, dia ada berkongsi foto stok susu yang ditinggalkan untuk arwah Muhammad Danial.

Abby dan Faizal mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015 dan turut mempunyai dua orang anak angkat bernama Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Sebelum melahirkan Muhammad Danial, Abby pernah mengalami keguguran pada 2016 dan 2017 sewaktu kandungannya mencecah lima bulan.

Abby Abadi, bayi pra matang

Artikel Berkaitan

Artikel Lain