suria

Abby Abadi tunai umrah, tinggalkan 27 pek susu untuk anak di hospital - “Mama, abah nak doakan baby depan Kaabah”

Bayi Abby masih dirawat di NIUC.

PELAKON Abby Abadi berterima kasih kepada Memey Suhaiza yang membantu menyediakan stok susu untuk bayinya yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) sejak dilahirkan pada 27 September lalu.

Menurut pemilik nama Arbaiyah Abdul Manan, 42, bekalan susu tersebut mampu bertahan lebih 10 hari sementara dia dan Memey serta keluarga pergi menunaikan umrah pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: “Anak sakit pun nak seronok, kritikal pun sibuk nak kurus” - Netizen tak senang Abby Abadi kongsi ‘posting’ bergembira

"Setelah berkira-kira, stok susu yang ditinggalkan ini cukup untuk baby Danial selama lebih 10 hari, InsyaAllah.

Stok susu untuk anak Abby yang dibantu oleh Memey.

"Terima kasih mummy @memeysuhaiza bantu mama. Mama dapat kumpul 27 beg, mummy usahakan 10, ada yang 2oz, ada yang 3oz dan yang 4oz pun ada.

"Baby Danial minum 13cc sekarang. 1oz bersamaan dengan 30cc. Katalah satu plastik beg boleh minum lima atau enam kali, cukupkan? Lebih lagi untuk 10 hari, InsyaAllah," katanya menerusi Instagram.

Abby berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan umrah bersama suami, Muhammad Faizal Zakaria dan anak-anaknya, Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim serta Maria Danisha Hakim pada malam, Khamis.

Selain Abby dan anak-anak, pelakon Norman Hakim serta isteri, Memey Suhaiza turut mengikuti jemaah yang sama untuk tunaikan umrah.

Abby dan suami mempunyai dua orang anak angkat.

Bekas anggota kumpulan Elite itu melahirkan bayi lelaki pra matang seberat 535 gram yang diberi nama Muhammad Danial Firman pada 27 September lalu.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Gerak Khas ini juga memberitahu dia yakin bayinya semakin kuat biarpun berat badan sudah menurun disebabkan mengalami komplikasi pada hati.

Kata Abby, dia bersama keluarganya akan mendoakan bayi itu di depan Kaabah selain turut berharap doa daripada orang ramai.

"Dah 69 hari hero kecil mama abah ni. Walaupun beratnya turun balik 974 gram kerana ada komplikasi pada hati tapi mama yakin baby Danial mama sangat kuat.

Abby bersama Norman serta Memey dan anak-anak mereka berangkat menunaikan umrah pada Khamis.

"Mama abah, mummy, papa, atuk, nenak, abang dan kakak semua akan mendoakan baby Muhammad Danial Firman di depan Kaabah nanti agar mendapat Aafiyah daripada Allah.

"Mohon juga doa berterusan daripada sahabat-sahabat di sini juga ya. Amin," ujarnya.

Abby dan Faizal mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015 dan turut mempunyai dua orang anak angkat bernama Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Sebelum melahirkan Muhammad Danial, Abby pernah mengalami keguguran pada 2016 dan 2017 sewaktu kandungannya mencecah lima bulan.

Artikel Lain