suria

“Bila pula LS terajang orang ni?” – Lan Solo dikecam netizen ingat dia pukul pengawal

Nama Lan Solo turut terpalit dengan kes artis memukul pengawal keselamatan.

KES seorang pelawak memukul pengawal keselamatan di taman perumahan Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu mendapat perhatian netizen.

Seperti biasa, netizen mula membuat pelbagai andaian termasuk mendakwa pelawak yang bertindak mengamuk dan menyerang warga emas berusia 70 tahun itu adalah Lan Pet Pet.

Namun nampaknya bukan sahaja nama anggota kumpulan Senario itu dikaitkan, malah penyanyi Lan Solo turut terpalit apabila ada segelintir netizen yang menyangka dia adalah individu terbabit.

Menerusi Instagram, Lan atau Razlan Mohamed Yusof, 34, mendedahkan dia ada menerima banyak mesej di laman sosial yang bertanyakan mengenai kes itu pada Ahad.

"Ramai pula DM fasal kes terajang! Bila pula LS terajang orang ni? Lan lain la. Adoi kelakar la.

ARTIKEL BERKAITAN: Ditumbuk artis, pengawal keselamatan warga emas cedera


Lan menjelaskan dia bukan individu yang memukul pengawal keselamatan.

"Dah-dah pergi tidur! LS pun dah selesai kerja. Tak larat nak 'berterajang'  dengan komen atau DM yang masuk," tulis Lan.

Video yang memaparkan seorang lelaki mengamuk dan menyerang pengawal keselamatan dengan sebatang kayu dan kon lalu lintas menjadi tular di laman sosial.

Menerusi rakaman berdurasi dua minit itu, kelihatan pengawal keselamatan tersebut turut bertindak mempertahankan diri.

Video yang diambil menerusi rakaman CCTV pondok pengawal dan video amatur orang awam telah dimuat naik di media sosial.

Dalam pada itu, isteri kepada Lan Solo, Nur Sheila Hassim turut berkongsi komen netizen yang menganggap pelawak tersebut adalah suaminya.

Isteri Lan turut memuat naik komen netizen yang menyangkakan suaminya memukul warga emas.

"Hai @jenin.is.real... Terkejut kita baca komen awak. Adik, yang viral pukul orang tu bukan Lan Solo. Dalam dunia ni berpuluh juta nama Lan.

"Cuba tengok betul-betul. Lan kombat ka, Lan mana yang pukul tu. InsyaAllah, Lan yang ada dengan saya ni masih waras.

"Kalau dia terajang orang, KY dulu pukul dia. Biasa dia tu. Tak apa dik, akak anggap awak bergurau sahaja," katanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Nor Marzukee Besar, kes itu disiasat dibawah Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan dan polis telah meminta pelawak berkenaan untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada Ahad.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan Seksyen 427 kanun yang sama atas kesalahan khianat merosakkan harta benda awam.

Lan Solo

Artikel Lain

Wajah bayi berkedut seperti berusia 80 tahun