Semalaman dalam lokap, pelawak pukul pengawal bebas dengan ikat jamin - Hiburan | mStar

Semalaman dalam lokap, pelawak pukul pengawal bebas dengan ikat jamin

Pelawak terbabit telah menyerah diri pada Ahad dan diikat jamin pada Isnin.

PELAWAK yang didakwa memukul pengawal keselamatan dalam insiden pada Sabtu lalu ditahan polis pada Ahad sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, pelawak terkenal era 90-an itu diikat jamin oleh rakan baiknya kira-kira pukul 2 petang, Isnin.

"Kami telah memanggil individu terbabit dan dia menyerah diri pada pukul 5 petang semalam (Ahad) di balai polis Nilai untuk siasatan.

"Dia ditahan untuk siasatan dan sudah diikat jamin oleh rakan baiknya pada kira-kira pukul 2 petang tadi (Isnin)," katanya ketika dihubungi mStar Online tanpa mendedahkan identiti suspek.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak payah cakap dosa, pahala" - Promo umrah Lan Pet Pet diserang netizen

ARTIKEL BERKAITAN: Ditumbuk artis, pengawal keselamatan warga emas cedera

Dalam kejadian pada malam Sabtu lalu, pelawak tersebut dipercayai menumbuk muka pengawal keselamatan di taman perumahan Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.

Suspek dikatakan menumbuk di bahagian muka sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa selepas ditegur tidak membuat catitan dalam buku pelawat sebelum memasuki kawasan tersebut.


Instagram Lan dihujani kecaman netizen.

Video kamera litar tertutup (CCTV) daripada pondok pengawal dan rakaman amatur orang awam mengenai insiden ganas itu disebarkan di media sosial sejak Ahad.

Sehubungan itu rata-rata netizen membuat andaian dengan mendakwa pelawak tersebut adalah Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad.

Malah, Instagram pelawak itu turut diserang netizen yang mempersoalkan tindakannya memukul pengawal tersebut.


Dia ditahan untuk siasatan dan sudah diikat jamin oleh rakan baiknya pada kira-kira pukul 2 petang tadi.

Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar

Ketua Polis Daerah Nilai

Bagaimanpun sehingga kini usaha mStar Online untuk mendapatkan kenyataan Lan tidak berjaya apabila pelawak itu menutup telefon bimbitnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan Seksyen 427 kanun yang sama atas kesalahan melakukan khianat dengan merosakkan harta benda awam.

Artikel Lain