suria

Syafie Naswip dan Aishah Azman sudah bertunang, masing-masing nak cepat kahwin

Syafie dan Aishah selamat mengikat tali pertunangan pada Ahad malam.

PELAKON Syafie Naswip dan Aishah Azman memberitahu keluarga kedua-dua belah pihak masih dalam perbincangan untuk mendapat tarikh yang sesuai bagi melangsungkan majlis pernikahan mereka.

Biarpun belum mempunyai tarikh, namun Syafie atau Mohammad Syafie Naswip, 27, dan Aishah berhasrat untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri pada tahun ini juga.

“InsyaAllah memang nak percepatkan dan akan diadakan pada tahun ini juga. Banyak perkara perlu dilakukan yang melibatkan lokasi dan dokumen.

“Tapi beberapa persiapan sudah mula dilakukan. Nanti kami akan berkongsi dan umumkan jika tarikhnya ditetapkan,” kata Syafie kepada mStar Online.

Aishah bersama ibu Syafie iaitu Noorsiah Ahmad selepas majlis menyarungkan cincin pertunangan.

Sebelum itu pelakon yang popular menerusi filem Mukhsin dan Aishah selamat mengikat tali pertunangan pada majlis yang diadakan secara sederhana di Forest Valley Hall, Cheras, pada Ahad malam.

Ibu Syafie iaitu Noorsiah Ahmad menyarungkan cincin kepada Aishah atau nama sebenarnya Nor Aishah Afika Azman Shah, 23, sambil disaksikan dua belah keluarga.

Aishah dan Syafie mula berkawan sejak 2015 menerusi laman sosial Instagram dan hubungan cinta mereka mula terjalin sejak awal 2018.

Antara rakan artis yang hadir memeriahkan majlis pertunangan Syafie dan Aishah.

Pada majlis yang dihadiri 200 tetamu itu, Syafie menyerahkan lima dulang dan dan pasangannya turut membalas lima dulang berupa manisan.

Antara rakan-rakan artis yang turut hadir memeriahkan majlis iaitu Amelia Henderson, Sweet Qismina, Jasmine Suraya Chin, Aedy Ashraf, Syazuwan Hassan dan Fimie Don.

Aishah dan Syafie mengenakan busana berwarna biru muda daripada pereka fesyen Zamrimatouch dan pelakon wanita itu disolek oleh Khai Baha.

Syafie Naswip, Aishah Azman

Artikel Lain