Selepas dua hari 'tutup mulut', akhirnya Mona Allen akui milik Pekin - Hiburan | mStar

Selepas dua hari 'tutup mulut', akhirnya Mona Allen akui milik Pekin

Mona mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagianya.

PELAKON Mona Allen akhirnya secara terbuka meluahkan perasaannya mengenai pernikahannya dengan pengarah dan pelakon, Pekin Ibrahim selepas dua hari mendiamkan diri.

Mona atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen berkata, dia berterima kasih kepada semua yang memberi ucapan tahniah dan mendoakan kebahagiaannya.

"Ucapan terima kasih yang disampaikan adalah sesuatu yang paling berharga dan ia membawa kebahagiaan berlipat ganda. .

ARTIKEL BERKAITAN: "Alhamdulillah, selamat sudah..." - Pekin sah bergelar suami Mona Allen dalam majlis tertutup


Mona mengesahkan dia dan Pekin sudah berkahwin.

"Terima kasih untuk semua ucapan tahniah dan doa ," kata aktres berusia 28 tahun itu menerusi laman Instagram miliknya pada Ahad.

Pelakon drama bersiri Monalisa ini turut memuat naik foto sepasang cincin pernikahannya dan foto tersebut mendapat lebih 25,000 tanda suka dan hampir 500 komen.

Rata-rata pengikut di laman sosial suka melihat pasangan itu yang tidak menghebohkan hubungan cinta mereka dan terus melangsungkan perkahwinan.

"Ya Allah, suka saya melihat kak Mona dan abang Pekin tak heboh-heboh bercinta. Tiba-tiba saja. Saya dengan ikhlas mendoakan agar perkahwinan ni kekal sehingga ke hujung nyawa.

Pasangan itu selamat diijab kabul pada pagi Jumaat.

"Tahniah kak Mona. Awak layak dapat dia tau! Semoga sehingga jannah dan dapat bayi paling comel. Hormat korang sebab berjaya buat semua dengan senyap.

"Selamat pengantin baru. Semoga perkahwinan dirahmati dan hidup bahagia selalu. Jaga makan minum suami berbaik ya," komen beberapa pengikutnya.

Menerusi laporan mStar Online pada Sabtu, Mona dan Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 37, selamat bernikah pada pagi, Jumaat lalu.

Berita gembira itu dikongsi oleh rakan artis, Amyza Aznan yang mendapat jemputan majlis tersebut, namun tidak dapat hadir disebabkan sedang menjalani penggambaran.

Mona Allen , Pekin Ibrahim

Lebih Artikel