“Nak berlakon pun saya sudah tua” - Ebby Saiful - Hiburan | mStar

“Nak berlakon pun saya sudah tua” - Ebby Saiful

Pelakon Ebby Saiful memberitahu dia sudah tidak berminat untuk berlakon.

PENGGEMAR filem Ali Setan pasti mengenali nama pelakon Ebby Saiful yang memegang watak sebagai Latif sehingga melonjakkan namanya dalam bidang perfileman pada era 1980-an selain naskhah seperti Marah-Marah Sayang, Suara Kekasih, Perempuan dan Sumpahan Mahsuri.

Kini pada usia 59 tahun, Ebby atau Ebby Saifullah Ali memberitahu dia kini sudah tidak berminat untuk berlakon kerana merasakan dirinya sudah tua walaupun masih dibanjiri dengan pelbagai tawaran lakonan.

Malah kata Ebby, dia lebih selesa berada di belakang tabir sebagai pengarah drama selain menghabiskan masa bersama keluarga apabila mempunyai waktu lapang.

"Rasa macam sudah malas hendak berlakon sebenarnya... Lagipun saya sudah tua!

Ebby memberitahu dia kini lebih selesa bergelar pengarah.

"Alhamdulillah tawaran memang masih ada tapi kebiasaannya saya tolak secara baik dan produksi pun faham sebab saya menolak.

"Sudah hampir 10 tahun sebenarnya saya tidak berlakon kerana lebih menumpukan kepada kerja pengarahan," katanya kepada mStar Online.

Ebby ditemui pada malam pra-tonton teater Pokok yang sedang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur sejak 7 hingga 16 Disember ini.

Teater arahan U-Wei Shaari itu mengangkat karya asal Tan Sri Johan Jaaffar turut menampilkan barisan pelakon seperti Haliza Misbun, Rahim Jailani dan Buyung Zasdar.

Bercakap mengenai teater itu, Ebby berkata, dia tertarik untuk menerima tawaran itu kerana sudah lama mengimpikan untuk bekerja dibawah arahan U-Wei yang juga salah seorang idolanya dalam bidang perfileman.

Ebby bergandingan dengan Haliza Misbun dalam teater Pokok.

Kata Ebby, untuk teater itu juga, dia sanggup mengorbankan rambut panjangnya kerana perlu menyesuaiakan dengan wataknya sebagai Darwis dalam pementasan tersebut.

"Ramai juga perli saya sebab saya sudah tidak mahu berlakon tetapi apabila U-Wei buat tawaran itu saya terus bersetuju.

"Saya memang kagum dengan beliau ditambah pula karya ini mempunyai kelainan dan maksud mendalam yang membuatkan saya bersetuju," ujarnya.

Tiket bagi menyaksikan teater itu dijual pada harga RM50 (aras bawah) dan RM30 (aras atas) manakala RM20 untuk pelajar dan orang kelainan upaya (OKU).

Tempahan tiket boleh dibuat menerusi www.airasiaredtix.com.

Ebby Saiful , Pokok

Lebih Artikel