suria

Zara Zya Bimbang Terima Kesan Buruk Selepas Menang Anugerah

Zara takut pihak produksi tidak mahu mengambilnya berlakon dalam projek mereka kerana mungkin beranggapan dia 'demand' selepas memenangi anugerah.
Zara takut pihak produksi tidak mahu mengambilnya berlakon dalam projek mereka kerana mungkin beranggapan dia 'demand' selepas memenangi anugerah.

PETALING JAYA: Pelakon yang menempa nama menerusi drama bersiri Love You Mr. Arrogant, Zara Zya bimbang kemenangan trofi utama di Anugerah Meletop Era 2013 yang diadakan pada Sabtu lalu akan memberi kesan buruk kepada kerjaya lakonannya.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 29, berkata, dia takut pihak produksi tidak mahu mengambilnya berlakon dalam projek mereka kerana mungkin beranggapan dia 'demand' selepas memenangi anugerah.

"Bukan saya tidak bersyukur dengan kemenangan ini tetapi tidak dinafikan ada perasaan takut sekiranya tanggapan pihak lain terhadap artis yang memenangi anugerah akan berubah.

"Saya mahu kekal lama dalam industri ini dan berharap kemenangan ini tidak akan membuatkan nama saya terkubur begitu sahaja," katanya kepada mStar Online.

Pada Anugerah Meletop Era 2013 yang diadakan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Zara memenangi dua trofi iaitu Artis Baharu Meletop dan Artis Top Top Meletop (Wanita).

Zara turut membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000.

Dalam pada itu, Zara berkata, kemenangan tersebut bukan bererti dia sudah boleh meninggi diri sebaliknya kemenangan itu sebagai satu amanah daripada peminat yang mengundinya.

Jelas Zara, isu 'demand' juga tidak timbul kerana dia percaya harga yang diletakkan oleh seseorang artis adalah berdasarkan tempoh sesuatu projek dan pengalaman.

"Jika hanya satu adegan takkan artis hendak letak harga tinggi hanya kerana memenangi anugerah tetapi adalah tidak adil juga jika diberikan bayaran terlalu rendah.

"Isu bayaran itu tidak timbul kerana bayaran yang saya letak masih sama," katanya.

Mengulas kemenangannya, Zara berkata, dia bagaikan tidak percaya diumumkan sebagai pemenang trofi utama kerana bersaing dengan nama-nama hebat dan lebih berpengalaman.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain