suria

'Kalau Aku Kaya' Bukti Lagu Hip-Hop Bukan Karya Murahan

Altimet (kanan) percaya kemenangan lagu 'Kalau Aku Kaya' akan memberikan ruang untuk muzik Hip Hop berkembang lebih maju sebaris dengan genre lain.
Altimet (kanan) percaya kemenangan lagu 'Kalau Aku Kaya' akan memberikan ruang untuk muzik Hip Hop berkembang lebih maju sebaris dengan genre lain.

KUALA LUMPUR: Lagu Kalau Aku Kaya yang mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke 28 (AJL28) Ahad lalu dilihat sebagai pembuka jalan kepada penggiat muzik hip-hop untuk membuktikan genre tersebut mampu bersaing dengan genre lain dalam industri muzik negara.

Penyanyi Altimet atau nama sebenar Ahmad Abdul Rahman, 37, berkata, kejayaan tersebut juga secara tidak langsung membuang persepsi negatif masyarakat dan penggiat seni tempatan yang sebelum ini menganggap hip-hop sebagai karya murahan.

"Saya bersyukur kerana akhirnya genre hip-hop mendapat pengiktirafan dalam pertandingan berprestij ini.

"Ini bukan kemenangan saya seorang sebaliknya kemenangan pemuzik yang memperjuangkan muzik hip-hop di negara ini yang mana selama ini sering di pandang rendah.

"Saya sudah buka jalannya dan terpulang kepada pelapis-pelapis baru untuk teruskan perjuangan ini," katanya kepada mStar Online.

Dalam AJL28 lagu Kalau Aku Kaya ciptaan Omar K, Audi Mok dan Altimet mendapat tempat ketiga dan melayakkan penciptanya membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.

Lagu berkenaan adalah duet Altimet dengan Awi Rafael.

Dalam pada itu, Altimet berkata, lagu itu mempunyai kekuatan daripada segi melodi dan lirik yang menyentuh kehidupan masyarakat seharian.

Tambahnya, kemenangan itu juga membakar semangatnya untuk menghasilkan lebih banyak lagu yang berkualiti bagi memberi saingan kepada industri muzik tanah air.

"Dengan kemenangan ini sudah tentu saya lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak lagu yang berkualiti.

"Selepas ini ada beberapa projek yang masih dalam perancangan antara saya dan Awi," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain