suria

Klip Video Alex Subryn Angkat Penghidap HIV

Alex Subryn
Alex Subryn
Alex Subryn

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Alex Subryn mengambil inisiatif mengangkat penghidap HIV menerusi penghasilan sebuah klip video lagunya Leave Me Alone berkonsep dokumentari luahan golongan berkenaan.

Alex atau nama sebenarnya Alex Subryn Luis, 33, berkata, dengan konsep itu, ia sekali gus dapat membuka mata masyarakat yang kebanyakannya memberi persepsi negatif terhadap golongan berkenaan yang hidup terabai.

"Ramai yang memberi persepsi negatif terhadap golongan yang berpenyakit HIV kononnya mereka tidak boleh didekati.

"Masa itu, saya sedang mencari sebuah jalan cerita menarik tetapi berfaedah untuk ditonton, selepas melalui beberapa perbincangan dengan rakan, terus saya mendapat idea untuk membuat sebuah dokumentari mini menerusi klip video Leave Me Alone.

"Kebetulan pula saya mendapat geran sebanyak RM12,000 untuk menghasilkan klip video, jadi saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada," katanya

Alex ditemui pada sidang media pelancaran album sulung Alex berjudul Subryn anjuran Persatuan Karyawan (Karyawan) di Hotel Ancasa di sini pada Jumaat.

Hadir sama Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez.

Tambah Alex yang pernah menetap di Australia hampir 10 tahun itu, dia mengambil inisiatif dengan menjadi sukarelawan di tiga buah rumah kebajikan iaitu di Positive Living Community, Welcome Home dan Rumah Ozanam di sekitar Rawang dekat sini agar dapat mendekati dan mengenali penghidap HIV sejak Mei lalu.

"Sebenarnya mereka takut dan tertanya-tanya apa tujuan saya apabila cuba merapati mereka.

"Tetapi lama-kelamaan, mereka selesa berbual dengan saya. Dan selepas lebih kurang hampir tiga bulan mengenali mereka, barulah saya menjalani penggambaran klip video di sana," tuturnya.

Sementara itu, selain Leave Me Alone. album Subryn turut memuatkan lagu-lagu antaranya Look Into The Sky, Kajilah, Everything Reminds Me of You, I Don't Understand You dan Meredah Belukar Masa.

Beritahu Alex, ia mengambil masa untuk disiapkan selama tiga tahun kerana ingin menghasilkan lagu dan muzik yang bermutu sebelum ia diperdengarkan kepada orang ramai.

"Saya telah menghasilkan lagu ini sebaik mungkin sebelum ia berada di pasaran. Dan harap-harap ia dapat menarik perhatian ramai.

"Kebetulan pula lagu saya dalam album ini iaitu Look Into The Sky turut mendapat pencalonan Anugerah Industri Muzik 2013 (AIM2013) bagi kategori Artis Baru Terbaik.

"Andai kata saya menang, ia satu peluang buat saya untuk memperkenalkan bakat kepada umum," tuturnya.

Bagi yang ingin membeli album Subryn, ia sudah pun berada di pasaran dengan harga RM20. Setiap RM3 daripada album yang terjual akan disalurkan kepada tiga rumah kebajikan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain