suria

IB Angkat Pop Yeh-Yeh Pada Konsert Januari 2014

Barisan bintang artis 60-an
Barisan bintang artis 60-an
Barisan bintang artis 60-an

KUALA LUMPUR: Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) akan memberi suntikan baharu kepada irama Pop Yeh Yeh yang popular pada era 60-an menerusi Konsert OTM Bersama Bintang pada Januari 2014.

Pengarah muzik OTM, Yazid Zakaria berkata, adalah tidak mustahil muzik tradisional digabungkan dengan Pop Yeh Yeh malah hasilnya nanti akan memberikan kejutan kepada penonton.

"Mungkin bagi sesetengah orang melihat gabungan muzik tradisional dan Pop Yeh Yeh tidak sesuai tetapi sebenarnya ia dapat memberikan kelainan.

"Bagaimanapun kita tidak akan ubah identiti asal iramanya kerana itu adalah tarikan utama," katanya kepada mStar Online.

Konsert OST Bersama Bintang bakal menampilkan empat nama besar era 60-an iaitu Datuk Jeferydin, Datuk A Rahman Hassan, Datuk L. Ramlie dan A. Halim.

Ia bakal diadakan di Panggung Sari Istana Budaya pada 24 hingga 26 Januari 2014.

Dalam perkembangan sama, Yazid berkata, hampir 30 buah lagu bakal dipersembahkan pada malam itu nanti dengan dibahagikan kepada beberapa segmen.

Jelas Yazid lagi, selain menyanyikan lagu-lagu popular mereka, kesemua penyanyi akan digandingkan dalam sebuah persembahan Medley.

"Lagu-lagu popular era itu yang bukan nyanyian asal mereka turut dipersembahkan pada malam itu nanti," ujarnya.

Sementara itu Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya sedang mencari seorang penyanyi wanita untuk bersama-sama menyerikan konsert itu nanti.

Pihaknya juga sudah menyenaraikan beberapa nama namun masih belum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Sementara itu, A. Halim ketika ditemui berkata, dia terharu dan berbesar hati apabila pihak Istana Budaya sudi menjemput artis veteran seperti mereka untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij itu.

Katanya, jemputan itu juga membuktikan masih ada peminat muzik Pop Yeh Yeh yang ingin melihat persembahan mereka.

"Kali terakhir kami membuat persembahan di Istana Budaya kira-kira dua tahun lalu dan saya ingatkan itu adalah kali terakhir.

"Tidak sangka kami dijemput sekali lagi untuk mengadakan persembahan. Saya secara peribadi sangat terharu dan berterima kasih," katanya.

Tiket Konsert OTM Bersama Bintang dijual pada harga serendah RM30 hingga RM250.

Untuk keterangan lanjut mengenai konsert berkenaan dan tempahan tiket boleh menghubungi 03 8775 4666 / 03 4026 5520 atau layari www.redtix.airasia.com.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain