suria

Johnny Depp Dedahkan Yang Dia Sebenarnya Hampir Buta

DIA sememangnya popular dengan kaca mata gelap tetapi tidak ada siapapun yang tahu sebab di sebalik gaya Johnny Depp itu.

Kini buat pertama kalinya, pelakon popular yang akan muncul dengan filem terbaru The Lone Ranjer tidak lama lagi mengesahkan yang mata kirinya hampir-hampir buta dan mata kanannya kabur.

Depp, 50, dalam temuramah eksklusif dengan majalah Rolling Stone edisi terbaru mendedahkan yang dia selama ini menderita akibat kecacatan pada mata kiri sejak dilahirkan.

Kedua-dua belah matanya itu tidak boleh dirawat, ujarnya lagi.

"Segala-galanya kabur bagi saya apatah lagi mata sebelah kiri hampir kabur sekabur seekor kelawar," kata Depp.

Kelawar adalah mamalia yang bergantung sebahagian besar kepada pancaran sonar atau gelombang bunyi yang dipantulkan ke arah objek yang berada di hadapannya untuk menentukan arah kerana penglihatan yang kabur.

Depp mengaku buat pertama kalinya yang dia selama ini bergantung kepada cermin mata untuk bergerak tetapi keadaan menjadi semakin sukar ketika berlakon yang memerlukannya membawa watak yang tidak membolehkannya memakai cermin mata.

Ini termasuklah ketika membawa watak Edward Scissorhands dan Jack Sparrow dalam filem Pirates Of The Caribbean.

Dalam temuramah itu, Depp juga mendedahkan tentang perpisahannya dengan Vanessa Paradis - pasangannya selama 14 tahun.

Mereka memperolehi dua orang anak menerusi perhubungan itu dan perpisahan yang berlaku pada Jun tahun lalu adalah sesuatu yang memeritkan.

"Perhubungan sebenarnya amat sukar lebih-lebih lagi kepada orang yang seperti saya yang sentiasa berjauhan daripada pasangan kita dan keluarga. Di pihaknya juga bukanlah mudah. Begitu juga dengan anak-anak," kata Depp.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain