suria

Normah Damanhuri Tak Malu Berlakon Watak Pelacur

Normah Damanhuri
Normah Damanhuri
Normah Damanhuri

PUTRAJAYA: Pelakon Normah Damanhuri mengakui tidak malu melakonkan watak pelacur seperti yang dilakonkannya dalam filem Songlap dan sekiranya ditawarkan lagi watak itu, dia akan menerimanya.

Normah berkata, sebagai seorang pelakon profesional yang bekerja di bidang seni lakonan tempatan, tidak kira watak jahat atau baik sekalipun, ia sudah menjadi satu tanggungjawab untuk dia melaksanakan sesebuah watak yang ditawarkan itu.

"Berilah watak apa sekalipun, saya akan laksanakan sebaik mungkin, Begitu juga watak pelacur, saya tidak malu dan tidak kisah untuk melakonkan watak tersebut.

"Bagi saya, bekerja biarlah profesional, tetapi ia tidak memudaratkan diri di kemudian hari," katanya.

Pelakon berusia 60 tahun itu memenangi anugerah pelakon pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM25) menerusi filem Songlap pada Sabtu lalu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ini merupakan kali pertama dia meraih anugerah di FFM25 selepas 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni tempatan.

"Diakui saya mengharapkan untuk menang tetapi tidaklah terlalu yakin untuk mendapatkannya kerana sebelum ini saya pernah tercalon tetapi tewas.

"Alhamdulillah, kemenangan ini adalah permulaan saya bagi meraih anugerah lain di FFM25 akan datang. Dan saya menyasarkan untuk mendapat pelakon wanita terbaik pula Insya-Allah," ujarnya.

Dalam pada itu, Normah turut berkongsi rahsia kejayaannya dimana setiap pelakon perlu jujur dalam menghayati watak yang digalas agar hasilnya lebih menyerlah.

"Sebelum ini saya belajar daripada pengarah filem U-Wei Saari dan katanya nak berlakon kena jujur dan bersungguh-sungguh.

"Dan sejak dahulu hingga kini, itulah yang saya terapkan dalam lakonan dan tidak boleh main-main untuk bergelar pelakon," katanya.

Dalam perkembangan lain, Normah baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Adikku Mia (RTM).

Artikel Lain