suria

KP Finas Mahu Penerbit Tidak Keluarkan Bajet 'Ciput'

Naguib Razak
Naguib Razak
Naguib Razak

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Mohd Naquib Razak menyarankan kepada para penerbit filem supaya mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk membikin filem agar mendapat kualiti yang baik kepada karya mereka.

Mohd Naquib berkata, kos penerbitan yang lebih tinggi itu dapat menghasilkan plot yang mantap, menepati selera semasa dan mampu menampung strategi promosi dan pemasaran yang lebih efektif.

"Kita sedar lambakan filem tempatan dan antarabangsa di pawagam pada hari ini membawa persaingan yang terbuka dan sengit di kalangan penerbit tempatan.

"Sebab itu saya sarankan penerbit kita untuk memberanikan diri mengeluarkan kos yang lebih besar pada filem mereka agar hasilnya menjadi lebih baik daripada filem-filem sedia ada," katanya kepada mStar Online.

Mohd Naquib berkata demikian sebagai mengulas perkembangan kutipan filem tempatan yang kurang memberangsangkan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Katanya, berdasarkan rekod Finas pada tiga tahun kebelakangan ini, filem-filem tempatan yang dihasilkan dengan kos yang tinggi mempunyai kualiti yang lebih baik dan mendapat kutipan pecah panggung yang besar berbanding filem-filem lain.

"Rekod sudah membuktikan filem-filem tempatan yang diterbitkan dengan kos yang tinggi jauh lebih berkualiti dan mendapat pungutan pecah panggung yang baik.

"Salah satu punca filem kurang berjaya di pawagam kerana penerbit kita lebih selesa mengeluarkan kos yang kecil, sekali gus filem yang dikeluarkan mempunyai plot yang lemah atau klise serta kurang menarik perhatian penonton," katanya.

Ditanya mengenai impak sistem penayangan dua filem seminggu yang diperkenalkan sejak 24 Mei lalu, Mohd Naguib berkata para penerbit perlu bersabar untuk tempoh masa tertentu sebelum mendapat pulangan kelak.

"Kami sedar sistem baru ini akan memberikan tekanan kepada jumlah kutipan filem tetapi penerbit perlu bersabar sehingga senario ini menjadi neutral dan diterima oleh penonton.

"Ketika kami memperkenalkan sistem satu filem seminggu sebelum ini pun, kutipan filem tidak memberangsangkan. Selepas beberapa tahun ia mula membuahkan hasil dan banyak filem mendapat kutipan pecah panggung," katanya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain