suria

Sheila Majid Seru Pemuzik, Penyanyi Segera Sertai RPM

Shiela Majid. Foto MUHAMMAD SYAMIL JOHAR
Shiela Majid. Foto MUHAMMAD SYAMIL JOHAR
Shiela Majid. Foto MUHAMMAD SYAMIL JOHAR

KUALA LUMPUR: Pengerusi Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), Datuk Sheila Majid menegaskan badan itu tidak dapat mengutip serta mengagihkan royalti pelaku yakni penyanyi dan pemuzik rakaman selagi kelompok terbabit tidak menganggotainya.

Sheila berkata PRM yang ditubuhkan pada Januari lalu bagi menggantikan Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn Bhd (Prism) yang sudah dibubarkan tidak dapat memulakan operasi pada tahun ini selagi ia tidak disertai sekurang-kurangnya 50 ahli berdaftar.

"Sejak RPM ditubuhkan pada Januari lalu, kami telah berjaya mengumpulkan lebih 40 pelaku. Kami memerlukan sekurang-kurangnya 50 ahli berdaftar untuk memulakan operasi mengutip royalti ini.

"Kami sedar terlalu banyak spekulasi dan persepsi yang timbul di kalangan artis di luar sana mengenai matlamat RPM. Kami hanya ingin membantu melakukan operasi kutipan dan agihan royalti ini secara sistematik dan telus," katanya.

Sheila berkata demikian pada sidang media badan berkenaan di Solaris Mont Kiara di sini, petang Rabu.

Turut hadir adalah ahli lembaga pengarah RPM iaitu penyanyi dan komposer Ajai, Ana Raffali, penyanyi Jaclyn Victor dan Aniu.

Sheila berkata, kutipan royalti ke atas pelaku akan dilaksanakan sebaik saja mereka mendaftarkan diri dengan RPM.

Tambah beliau, sikap ragu-ragu mereka yang berkenaan untuk mendaftar diri sebagai ahli RPM hanya akan merugikan golongan tersebut.

"Lagi cepat artis dan pemuzik mendaftarkan diri dengan RPM, maka lebih awal dapat kami laksanakan tugasan itu.

"Kini sudah hampir ke bulan Jun, ini bermakna pelaku yang belum mendaftar sudah terlepas agihan royalti bagi lima bulan pertama tahun ini kerana kiraan akan mula dilaksanakan hanya selepas mereka menjadi ahli berdaftar RPM.

"Saya mengalu-alukan sokongan dan penyertaan penyanyi dan pemuzik semua bagi menuntut hak kita," katanya.

Sheila turut memberikan jaminan bahawa kutipan dan agihan royalti ahli berdaftar RPM kelak adalah mengikut sistem perkiraan standard seperti dilaksanakan Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) selama ini.

"Kami beri jaminan pelaku tidak perlu bimbang royalti mereka akan lenyap atau berlaku penyelewengan. Ia akan dikira mengikut sistem perkiraan standard seperti dilakukan MACP selama ini.

"Setiap bayaran royalti pelaku nanti akan disertakan butiran lengkap bagi setiap jumlah yang diterima secara telus dan saksama," katanya.

RPM berfungsi mengagihkan royalti kepada penyanyi serta pemuzik yang mana sebelum ini hanya pencipta lagu dan penulis lirik sahaja mendapat royalti yang dikutip oleh MACP.

Penyanyi dan pemuzik yang ingin menyertai RPM boleh mendaftar di pejabat pertubuhan itu atau memuat turun borang pendaftaran menerusi laman www.rpm.my.

Artikel Lain