suria

RTM Perkenal Program Realiti Dikir Barat

PETALING JAYA: Buat pertama kalinya, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal muncul dengan program realiti Dikir Barat iaitu Pentas Dikir bagi mencari 'Juara' dan 'Tukang Karut' terbaik negara.

Bertemakan '1 Rentak 1 Jiwa', program ini telah pun menemui penonton menerusi episod pengenalannya pada 3 Februari lalu dan menerima sambutan baik menerusi saluran TVi (saluran Astro 180).

Disiarkan setiap Jumaat, pukul 9.30 malam, program sebanyak 13 episod itu meneruskan misi pencarian bakat seni tradisional Dikir Barat dengan menampilkan Nabil (Raja Lawak) dan Wan Sahrmila sebagai hosnya.

Seramai 12 orang peserta dipilih menerusi uji bakat yang diadakan pada 11 Jun tahun lalu dan kemudian mereka ‘di kuarantin’ selama 10 hari bagi mengikuti kelas dikir dan persediaan ke konsert mingguan.

Saringan meliputi dua pusingan dan empat orang dari setiap kategori akan ke peringkat separuh akhir dan seterusnya dua pasangan akan dipilih mara ke Peringkat Akhir bagi merebut hadiah utama yang dijanjikan kepada pemenang.

Setiap episod akan membawa tema yang berlainan seperti anti dadah, keselamatan jalan raya, cuti-cuti Malaysia, idola, integriti, 1 Malaysia dan gaya hidup sihat.

Kategori Juara/Tok Jogho menyaksikan persaingan hebat diterima daripada enam peserta iaitu Sari Bayu (Ahmad Syahrir Aliakbar dari Sabah), Anak Gelama (Muhammad Aliff dari Singapura), Limau Manis (Anas Fariq Mohd Asseri dari Pahang), Seruling Emas (Mohd Azhar Mohd dari Kelantan), Gergajiwa (Saharudin Mohamad dari Selangor) dan Adinira Engku Suhardi Engku Yaacob dari Kuala Lumpur

Enam peserta yang bertanding dalam Kategori Tukang Karut pula adalah Sina Kencana (Wan Mohd Suhaizi Wan Mohamad dari Kelantan), Sunan Malaya (Zul Afkar Al-Husna Yusoff dari Negeri Sembilan), Putera Saring (Effrizal Molaizi Mohd dari Kelantan), Udang Merah (Aliff Muhaimin Mohamed Kamil dari Pulau Pinang), Sutera Jingga (Noor Idayu Mohammad dari Pahang) dan Cindai Pelangi (Siti Aishah Che Mat Riffin dari Terengganu).

Tenaga pengajar profesional terdiri daripada Megat Nordin (Pengetua/Adiguru), Arjunasukma (Ketua Tenaga Pengajar), Mie Gajah Putih (Tenaga Pengajar Juara) dan Muslih Sang Saka (Tenaga Pengajar Tukang Karut).

Manakala persembahan peserta untuk setiap kategori akan diadili oleh Juri Profesional iaitu Cikgu Sulizi dan Juri Jemputan iaitu Mat Over dan Mustafa Kamal.

Menariknya, peserta rancangan ini merupakan terdiri dari seluruh pelosok negara termasuk seorang peserta dari Singapura, dua orang peserta wanita dan seorang peserta cacat penglihatan.

Saksikan debaran siapakah yang bakal membolot gelaran Juara/Tok Jogho dan Tukang Karut Terbaik menerusi Pentas Dikir di TVi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook Rasmi : Pentas Dikir – 1 Realiti 1 Jiwa.

Artikel Lain