suria

Terjatuh Dari Bilik Air, Yahya Sulong Dimasukkan Ke ICU

Gambar fail pada dua tahun lalu ini menunjukkan Yahya menerima lawatan Freddie (dua dari kiri) yang menziarahinya di sebuah hospital akibat penyakit asma. Kanan sekali ialah isteri Yahya, Alisah Ali.
Gambar fail pada dua tahun lalu ini menunjukkan Yahya menerima lawatan Freddie (dua dari kiri) yang menziarahinya di sebuah hospital akibat penyakit asma. Kanan sekali ialah isteri Yahya, Alisah Ali.
Gambar fail pada dua tahun lalu ini menunjukkan Yahya menerima lawatan Freddie (dua dari kiri) yang menziarahinya di sebuah hospital akibat penyakit asma. Kanan sekali ialah isteri Yahya, Alisah Ali.

KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Yahya Sulong,84, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang di sini selepas terjatuh daripada bilik air Isnin lalu.

Isterinya Datin Alisah Ali,65, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika Yahya hendak buang air besar di bilik air rumah mereka di Bandar Baru Sentul dekat sini tetapi atas sebab-sebab keuzuran, Yahya dipercayai telah tergelincir.

“Kira-kira 10 minit saya dapati dia senyap saja dalam bilik air, saya pun buka pintu. Saya lihat dia terjatuh dalam keadaan berlumuran najis. Saya pun minta bantuan anak saya untuk panggil ambulan,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Hospital Ampang di sini, Rabu.

Menurut Alisah, Yahya pada mulanya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi atas sebab-sebab tertentu terpaksa di pindahkan ke Hospital Ampang.

Katanya, Yahya sering keluar masuk hospital sebelum ini untuk mendapatkan rawatan penyakit asma dan paru-paru yang dijangkiti kuman tetapi dalam kejadian yang berlaku dua hari lalu itu, keadaannya agak serius.

Ujarnya, pihak hospital belum dapat mengesahkan punca sebenar yang membawa kepada kejadian suaminya jatuh itu kerana rawatan ke atas beliau sedang dilakukan.

Tambah beliau, Yahya masih tidak sedarkan diri tetapi setakat ini beliau dimaklumkan suaminya berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu tiga persatuan dan pertubuhan pada Rabu berbesar hati menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Yahya yang hilang sumber pendapatan kerana tidak lagi mampu berlakon.

Sumbangan bagi pihak artis disampaikan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan juga Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi.

Turut memberi sumbangan ialah Pengerusi Biro Kebudayaan & Kesenian, Pemuda Umno Malaysia iaitu Jamawi Jaafar.

Alisah berkata, beliau bersyukur dengan sumbangan tersebut kerana ia dapat meringankan beban yang ditanggungnya selama ini.

Beliau sebenarnya malu untuk menerima sumbangan kerana bimbang dianggap gemar meminta-minta tetapi disebabkan faktor kesempitan hidup, beliau tiada pilihan lain.

“Saya tak pernah nak minta sumbangan. Tetapi kalau dah ada orang bagi, saya ambillah. Saya mengucapkan terima kasih kepada orang yang sudi membantu saya,” katanya sedih.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain