suria

Sehari Bersama Jamal Abdillah 7 Januari Depan

Jamal Abdillah
Jamal Abdillah
Jamal Abdillah

PETALING JAYA: Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah akan diadakan pada 7 Januari depan di perkarangan Maju Junction Mall, dekat sini bermula 10 pagi dan dijangka berakhir pukul 10 malam.

Menurut Jamal, karnival tersebut dianjurkan bersempena kemunculan album terbarunya iaitu “Raja Pop 2” dan produk kecantikan, D’JAS.

“Idea ini datang apabila melihat sokongan peminat-peminat yang mahu berjumpa saya. Selain itu saya juga ingin berkongsi rasa gembira dan penghargaan buat peminat-peminat.

“Daripada maklum balas yang kami dapat ramai yang sudah berjanji akan datang terutamanya peminat di sebelah selatan seperti Johor dan Singapura,” katanya ketika ditemui pada sidang media Karnival Jamal Abdillah, di sini, Khamis.

Selain itu, pelbagai aktiviti yang akan berlangsung pada karnival tersebut seperti pertandingan karaoke lagu Jamal, Tiru Gaya Jamal dan berbagai lagi.

“Melalui laman sosial Facebook Kelab Peminat Jamal Abdillah ramai yang telah menunjukkan minat dan komitmen mereka untuk menyertai aktiviti yang kami sediakan.

“Selain itu juga, sebuah gerai khas yang menjual barang-barang D’Jas, baju dan album akan dibuka,” katanya.

Sementara itu, Jamal akan membuat kemunculan istimewa pada sebelah tengah hari dan sebuah showcase pada sebelah malam.

“Bagi yang ingin menyaksikan persembahan saya pada sebelah malam hanya perlu membeli VCD istimewa yang dijual digerai yang kami buka.

“Pada showcase tersebut saya akan menyanyikan lima buah lagu dari album Raja Pop 2 dan tempat yang ada juga terhad,” katanya.

Karnival sehari itu merupakan kerjasama antara Warner Music Malaysia, Bintang Channel dan Maju Junction Mall.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain