suria

Pengesahan Lafaz Cerai & Rujuk Joey Ogos Depan

Joey dan Watie (Elite)
Joey dan Watie (Elite)
Joey dan Watie (Elite)

KAJANG: Permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang difailkan oleh isteri kepada pelakon dan penyanyi, Joey akan diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 11 Ogos depan.

Hakim Syarie, Abd Halim Abdullah menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan bahawa plaintif, iaitu Noraini Mohamad Nasir tidak dapat menghadiri prosiding kerana tidak sihat.

Menurut peguam syarie, Amli Embong yang mewakili Noraini, anak guamnya ada menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) pada waktu tengah hari Selasa, memaklumkan dia kini demam panas.

"Sebaik sahaja menerima berita itu, saya telah menghubungi plaintif dan meminta dia untuk mengemukakan sijil cuti sakit (MC).

"Bagaimanapun, plaintif memberitahu dia masih tidak larat untuk ke hospital dan akan cuba mendapatkan MC daripada hospital di Ampang pada petang ini (Selasa)," katanya.

Abd Halim kemudiannya bertanyakan kepada Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud sekiranya dia ada menghubungi isterinya, namun tidak memberitahu bila.

Zulkifli: Ya, saya ada menghubunginya.

Abd Halim: Kamu tahu keadaan kesihatan dia?

Zulkifli: Waktu saya hubungi, dia sihat.

Abd Halim kemudiannya memberitahu, beliau mahu supaya Noraini hadir di mahkamah untuk mendengar penghakimannya kerana beban untuk membuktikan kejadian rujuk terletak di bahu plaintif.

"Dalam kes ini ada dua isu yang timbul, iaitu isu lafaz cerai dan rujuk. Kamu hanya menafikan dakwaan rujuk. Saya tidak boleh putuskan kes ini tanpa kehadiran plaintif.

"Saya tahu saya telah janji untuk memberikan keputusan pada hari ini dan keputusan juga telah berada di tangan saya," ujar beliau.

Noraini, 44, memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor pada 15 Oktober 2010 iaitu kira-kira seminggu selepas Joey, 37, dilaporkan bercinta dengan pelakon, Watie Elite.

Pada penyataan tuntutannya, Noraini mendakwa Joey atau nama sebenarnyaZulkifli Daud, 37, telah melafazkan cerai pada 4 Jun 2010, yang hanya didengari oleh seorang rakan suaminya bernama Acong.

Noraini juga mendakwa, Joey telah melafazkan lafaz rujuk ke atas dirinya empat hari kemudian, iaitu pada 8 Jun 2010 semasa berada di dalam bilik tidur.

Pada keterangan Noraini, wanita tersebut memberitahu, semasa melafazkan rujuk, Joey meletakkan tangan kanannya ke dahi manakala tangan kirinya memegang Al-Quran.

Bagaimanapun, Joey yang merupakan vokalis kumpulan Exist dan pernah menghasilkan album Beradu Suratan hanya mengakui bahawa dia ada melafazkan cerai dan menafikan dakwaan rujuk.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain